Saya tertarik dengan artikel yang diterbitkan di Harakah daily baru-baru ini. Fenomena tinggal bercampur serumah di UK. Jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Mari teruskan membaca.
Oleh : Muhaimin Sulam.
Fenomena pelajar Malaysia di UK duduk satu rumah bercampur antara lelaki perempuan adalah perkara biasa. Ada yang campur serumah sesama orang Malaysia dan ada juga campur serumah dengan pelajar internasional.
Satu rumah bersama lelaki Afrika dan Sepanyol, campur perempuan Jerman dan ada gadis Melayu. Tiada siapa yang hendak sibuk membuat laporan kepada ibu bapa mereka di tanahair. Di sini tiada pasukan pencegah maksiat ataupun ustaz yang sukarela memberikan pemantauan terhadap hal ini.
Alasan yang paling mudah ialah 'darurat'. Entah ustaz atau ulama mana yang buat hukum sedemikian. Namun, rata-rata menjadikan alasan 'darurat' itu sebagai satu jalan mudah duduk satu rumah bercampur lelaki dan perempuan. Latar belakang pendidikan agama seperti sekolah agama atau dari keluarga orang yang dihormati seperti anak haji atau ustaz bukanlah satu jaminan untuk menghalang fenomena ini berlaku.
Memang mereka bukan berniat untuk tinggal bercampur tetapi kebanyakan mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelak hal itu berlaku.
Darurat
Penggunaan istilah 'darurat' sering digunakan bagi mengesahkan semua tindakan. Seperti buka tudung bagi pelajar perempuan kerana khuatir keselamatannya diancam kerana konon wujudnya sentimen anti-Islam di sini. Makan daging yang tidak disembelih oleh orang Islam. Tidak sembahyang Jumaat kerana ada kelas. Cuma satu sahaja yang mungkin tidak dibuat: makan babi! Itupun barangkali kerana orang Melayu sudah dididik membenci babi sejak kecil lagi.
Alasan lain adalah kerana untuk menjimatkan duit perbelanjaan. Meskipun pihak kerajaan memberikan elaun yang mencukupi tetapi sering dijadikan alasan untuk menyatakan sebaliknya. Sesetengahnya mengatakan duduk bercampur satu rumah samalah seperti tinggal dalam satu hotel. Macam-macam alasan yang diberikan. Semuanya untuk mengesahkan tindakan mereka tinggal bercampur lelaki perempuan dalam satu rumah sebagai tidak salah.
Aku percaya, mereka tidak akan buat perkara itu jika berada di Malaysia. Mungkin kerana cara itu tidak diterima dalam budaya tanahair. Ia seperti lebih kepada faktor budaya dari faktor agama. Jika faktor agama, mereka tidak akan berbuat demikian. Seolah-olah agama Islam hanya sesuai diamalkan di sesetengah tempat.
Jika berkesempatan menonton rancangan televisyen 'Friends', itulah gambaran kehidupan remaja dan anak-anak muda di Barat. Mereka yang berumur melebihi 17 tahun ke atas bebas daripada kawalan ibu bapa mereka. Mereka boleh tinggal serumah dengan teman lelaki atau perempuan mereka. Itu adalah jaminan dalam undang-undang mereka.
Mereka boleh berkeluarga dan mempunyai anak tanpa nikah. Yang perlu mereka mendaftarkan nama kepada Majlis Perbandaran (City County) sebagai pasangan untuk mendapatkan beberapa faedah (benefit) kebajikan daripada kerajaan seperti elaun anak, elaun susu dan sebagainya.
Selain itu, ada faktor lain yang menyebabkan fenomena itu berlaku. Antaranya nasihat dan pandangan daripada beberapa pelajar senior yang memesongkan pemikiran mereka. Memang yang datang belajar ke UK ini kebanyakannya bijak, IQ tinggi dan pintar belaka. Namun, itu tidak memadai untuk menjadi pendinding kepada budaya baru yang memuja kebebasan.
Bijak mereka bukan pada memahami hakikat kehidupan beragama tetapi kepada mata pelajaran sahaja. Mereka kalah dengan 'hujah bodoh' sesetengah pelajar senior. Oleh kerana mereka orang baru, kebanyakan 'nasihat bodoh' akan ditelan tanpa soal jawab. Kejutan budaya menyebabkan sesetengah pelajar muda terperangkap kepada kekeliruan yang merosakkan diri mereka.
Asrama Campur
Sesetengah universiti, tidak ada konsep asrama yang berasingan antara lelaki dan perempuan. Bagi mereka, tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan. Ini mungkin hasil daripada perjuangan hak sama rata tanpa mengenal gender. Satu rumah yang berkongsi bilik air, ruang tamu dan dapur biasanya untuk lima atau enam orang.
Setiap orang mempunyai bilik yang berasingan. Hampir semua rumah di UK terdapat hanya satu bilik air sahaja meskipun rumah tersebut mempunyai tiga atau empat bilik. Ada yang menyebut macam filem P. Ramlee, 'Pendekar Bujang Lapuk'. Mereka tinggal satu rumah tetapi diasing-asingkan dengan bilik. Paling tidak dalam filem itu, si Bujang Lapuk tidak boleh berbuat sewenang-wenangnya kerana ada Pendekar Mustar yang mengawal rumah tersebut.
Tiada larangan untuk pelajar lelaki masuk ke bilik pelajar perempuan begitu juga sebaliknya. Mereka melayan lelaki dan perempuan sama. Oleh itu, mereka bebas untuk datang ke bilik kawan meskipun pada malam hari. Tiada siapa yang melarang. Semua sudah besar panjang dan bijak pandai.
Tidak ada yang sibuk menjaga tepi kain orang. Yang penting kawan serumah itu tidak mengganggu ketenteraman dan keselesaan dirinya untuk belajar di bilik mereka. Jika tidak, mereka boleh lapor kepada pihak universiti. Biasanya tindakan akan dibuat oleh pihak universiti atas alasan mengganggu orang lain.
Kadangkala mereka berasa susah hati kerana terpaksa berkongsi satu peti ais dengan penghuni lain yang menyimpan babi dalam peti tersebut. Bayangkan ayam halal bercampur dengan daging babi dalam satu peti ais.
Walau bagaimanapun, setiap pelajar mempunyai hak untuk memohon rumah yang tidak bercampur antara lelaki dan perempuan. Itu bergantung kepada kekosongan ataupun budi bicara pihak pengurusan penginapan universiti.
Ramai ibu bapa di tanah air tidak mengetahui keadaan kehidupan anak mereka di sini. Bahkan, jika mereka mengetahui anak mereka duduk bercampur, mereka mungkin diberikan pandangan yang mengelirukan oleh anak-anak mereka di sini. Akhirnya, ibu bapa di tanah air seperti terpaksa 'merestui' keadaan anak mereka. Ibubapa diyakinkan bahawa keadaan mereka benar-benar darurat, terpaksa dan tiada pilihan.
Kadang kala akupun pelik juga, ada juga ibu bapa yang membenarkan anak mereka tinggal bercampur. Mungkin kerana jiran mereka tidak tahu atau kawan-kawan satu kampung tidak tahu. Jika tahu, tentu mereka akan malu. Maknanya, mereka hanya malu pada jiran atau rakan-rakan sekampung, satu pejabat atau setaman mereka.
Satu perkara yang menarik di UK adalah masyarakat mereka amat menghormati cara hidup dan kepercayaan termasuklah agama seseorang, termasuklah Islam. Malangnya, terdapat juga sebilangan orang Islam yang malu untuk berfikiran dan bertindak sebagai seorang Muslim.
Sumber : Harakah daily.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kita takut jika perkara sebegini berlaku kepada sahabat-sahabat kita, adik-adik kita, anak-anak kita nanti. Memang besar benar jihad yang perlu dilakukan oleh sahabat-sahabat kita yang berada di 'western country' ini untuk menahan diri mereka. Biah yang ada lebih mendorong untuk mereka berpaling dari jalan hidup Islam sebenar.
Oleh itu saya kagum pada sahabat-sahabat yang masih istiqamah dan thabat dengan usrah-usrah dan program agama yang dijalankan kerana saya percaya ia adalah salah satu cara untuk mengelakkan diri dari terjebak dalam gejala-gejala tidak bermoral seperti ini.
Kami yang berada di Jordan atau Mesir mungkin boleh lagi menghela nafas lega kerana biah yang ada di sini meskipun tidaklah dapat dikatakan islamic sepenuhnya, namun masih lagi 'baik' jika mahu juga dibandingkan. Percampuran lelaki dan wanita bukan mahram masih dianggap 'aib' oleh masyarakat setempat.
Satu sunnah,
Kita 'concern' tentang umat,
Kerana nabi 'concern' tentang kita..
Ummati, ummati,
Lafaz baginda di hujung nafas,
Mind our own business,
Sikap kita, putus asanya lekas.
Apa kata nabi, melihat kita yang membiar lepas,
Sahabat kita yang kian bebas?
Mungkin sampai masa untuk bertindak tegas,
Sayangi sahabat,
Sayangi adik-adik.
Semoga hidayah ditetapkan di hati-hati kita...
maybe rmai yg 1 asrama tuh kot..1 bgnn..
ReplyDeletenih yg sye tahu la
'Welcome to United Kingdom....'
ReplyDeletepoem fez yg terkesan kat hati!good work! (^_^)
ReplyDeletesalam..
ReplyDeletex terkejut kte baca entry ni..sbb wpun x penah nmpak dpn mata, tp jika xde angin, masakan pokok bergoncang..ape pn, best baca sajak tu..ada bakat trsmpan dan tersorok slma ni..cuma x diluahkan je..hihi~
salam..
ReplyDeleteana pernah study di uk ketika single dan pernah juga bersama famili.
Mmg wujud situasi yg dikhabarkan tapi amat2 "rare" dan tidak pernah menghadapi dan mendengar masalah sebegitu di surrounding ana.
Masyarakat Islam khususnya masyarakat melayu Islam amat2 mengambil berat ttg hal ini. Sangat byk program2 keislaman yg dilaksanakan di sana, malah kadang2 terasa lebih indah menghayati islam di bumi western itu dr di negara sendiri