Saturday, April 18, 2009

Pesta Buku kembali...

Sudah 5 tahun rasanya saya ketinggalan untuk meluangkan masa ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Ia kembali pada tahun ini, dan telah bermula semalam. Seronoknya...

Usaha kerajaan meneruskan Pesta Buku ini pada setiap tahun juga perlu dilihat sebagai langkah-langkah yang pro-aktif untuk kita menyemai budaya cintakan ilmu di kalangan generasi-generasi baik tua mahupun muda di Malaysia.

Dahulu di Malaysia, kita sukar melihat rakyat Malaysia mengamalkan amalan membaca di mana-mana. Namun kini, ketika saya pulang ke Malaysia beberapa bulan yang lalu, saya melihat perkembangan yang baik di kalangan sesetengah rakyat Malaysia yang telah mengamalkan budaya membaca terutama dalam kenderaan awam dan sebagainya. Meskipun bahan bacaannya berupa komik, namun ia adalah lebih baik jika dibandingkan dengan bual-bual kosong yang kuat dan mengganggu ketenteraman orang sekeliling.

Walaubagaimanapun, apabila kini saya berada di Jordan, bukan setakat sukar untuk melihat orang membaca, malah bak kata orang, 'HARAMM'...Orang-orang di sini lebih suka berbual, termenung atau merokok di dalam kenderaan awam atau pun di tempat-tempat awam. Di hospital juga begitu, pelajar-pelajar lebih suka menghabiskan masa melepak di 'ground floor' sambil 'mencuci mata', merokok dan berbual-bual kosong. Kami yang lebih suka membaca pula dikatakan 'nerd'. Sakit juga hati dibuatnya kadang-kadang. Mereka yang malas untuk membuka buku, kita pula yang di'kata' mereka. Apabila tiba masa rehat, berjam-jam pula masa dihabiskan di cafe sambil minum kopi. Itulah budaya di sini. Mungkin ia tidaklah menggambarkan masyarakat tempatan di sini secara keseluruhan, namun begitulah secara umumnya.

Sayang melihat masa mereka terbuang begitu saja.

Oleh itu, saya melihat, betapa pentingnya budaya membaca diterapkan menjadi amalan sejak kecil lagi. Dahulu, sebaik saja mula bersekolah rendah, setiap hari Sabtu, abah akan menghantar kami 3 beradik ke perpustakaan awam, dari pukul 9 sehingga 11 pagi. 2 jam cukup untuk membaca dan memenuhkan rekod bacaan. Namun apabila mula melangkah ke sekolah menengah, genre pembacaan juga telah berubah. Maka apabila ke perpustakaan, saya memilih untuk ke bahagian buku-buku remaja. Malangnya banyak pemandangan yang tidak enak di bahagian ini. Banyak pula kelihatan pasangan-pasangan 'bercintun' yang kononnya belajar bersama. Namun, yang saya perhatikan, buku ke mana, belajar ke mana, borak kosong saja yang lebih. Pandangan yang menjadikan fikiran saya semak. Oleh itu akhirnya saya tidak lagi gemar untuk 'lepak' di perpustakaan. Hanya meminjam dan memulangkan buku, dan pergi sekiranya ada 'study group' di sana sahaja. Betapa kemudahan telah di salah-guna.

Seperti yang disebutkan dalam wahyu pertama, Iqra'...

Jadi, rajin-rajinlah membaca. Membaca jambatan ilmu, bukan? Kelak jika telah bergelar ibu bapa, luangkanlah masa untuk membawa anak-anak ke perpustakaan, ke Pesta Buku, dan ke majlis-majlis ilmu. Semoga mereka terdidik untuk tidak membuang masa dengan perkara kosong.

::Entri ini saya rasakan seperti karangan PMR yang bertajuk 'Kepentingan membaca', ataupun, 'Budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia'. :p..::

::Untuk tahun ini, saya bercadang untuk mengirim beberapa buah buku dari my Ms Yah untuk dibeli dari sana. Buku apa ya?? Hmm... Novel asal 'Dari Mata Arisa' dan buku baru Ustaz Hasrizal boleh?? :p::

2 comments:

  1. salam,

    akak, nak gi ahad ni. ada nak pesan? :)

    ReplyDelete
  2. wslm.. wah bestnya kak.. klu boleh mmg byk nak dishortlistkan. hehe.. tp karang, buat berat tangan akak je nak bw. :p

    ReplyDelete