Thursday, December 9, 2010

Hajj-induced cough

Pandai-pandai je buat diagnosis.

Siapa yang pergi haji tapi dia tak batuk langsung? Angkat tangan!

Hebatnya immunity badan dia.

Kerana kami masih batuk-batuk lagi..

Sejak tiba di Mekah, sehingga sekarang saya masih batuk. Bunyi batuk lain macam. Tapi bukanlah 'whooping cough' ke apa.. Cuma ada kelainan pada bunyi itu, saya dapat mengenalpasti.

Ustaz Rosli (guru agama Rayhar) berkata, "Siapa batuk, itu tandanya betul dia dah sampai Mekah. Unta saja yang tak batuk. Orang lain semua batuk.."

Seorang gadis Sudan yang saya sempat kenali di Masjid Nabawi berkata, "Batuk dah boleh jadi rukun haji.."

Itulah hebatnya penangan batuk.

Di MasjidilHaram, batuk bersahut-sahutan antara jemaah ketika solat. Di sekitar masjid, berjalan tidak berkasut adalah agak merbahaya bukan saja dari segi keselamatan malah kebersihan. Lantai 'free-free' bercorak tompokan pelbagai warna sputum. Dalam kapal terbang pulang ke Malaysia juga begitu, batuk jadi irama dan halwa telinga sepanjang perjalanan.

Sebut saja ubat batuk jenis apa yang belum ditelan,
Cap ibu dan anak?
Breacol?
Madu?
Air asam jawa?
Limau dicicah kicap?
Ubat tabung haji (cecair atau tablet)?

Benarlah, "Dan apabila aku sakit, dia yang menyembuhkan..." (26:80)

::Selingan : Saya akan ke kursus Induksi dan Kenegaraan di Hotel Putra, KL minggu hadapan. Justeru akan bekerja terus kot. Huhu, hargailah lapang sebelum sempit (dan semput). Entri di Madinah akan disambung kemudian..::

Saturday, December 4, 2010

Kota Cahaya Madinah al-Munawarah (Siri 2)

Bersambung lagi...


Perkarangan Masjid Nabawi 2010, Asar

Alhamdulillah selepas lebih kurang 8 jam setengah perjalanan, kami pun tiba di lapangan terbang Madinah al-Munawarah. Sekali lagi kami bersyukur kerana penerbangan kami terus ke Madinah, maka tidak perlu terlalu lama menunggu di lapangan terbang Antarabangsa Jeddah, tidak perlu menaiki bas berjam lamanya Jeddah-Madinah. Setibanya di airport, kelihatan jemaah Pakistan atau India (tak ingat) memenuhi kaunter check-in. Rombongan Jemaah kami (KT 18) yang seramai lebih kurang 400 orang terpaksa menunggu lebih kurang 2-3 jam juga sehingga tiba giliran kami. Bermulalah kesabaran kami teruji. Tapi sikit je.. Belum benar-benar mencabar...:)

Kebetulan semua tikar yang dibekalkan dimasukkan ke dalam beg besar, maka kami pun berpandangan antara satu sama lain. "Nak duduk mana ni??"

Kelihatan semua kerusi telah dipenuhi golongan warga emas dan perak. Kami yang gangsa ni sudah tentu tak punya pilihan. Berdiri atau duduklah di atas lantai.

Saya? Tak susah kot. Dah biasa di Jordan. Semua lantai adalah bersih until proven otherwise. (Haha). Jadi orang Malaysia memang terlebih bersih.
"Kotor lantai tu. Orang pijak-pijak keluar tandas."

"Ish habuk laa.."

Ahhh peduli apa. Tiada ain najisnya. Duduk saja. Tak mahu duduk sudah, berdirilah sampai penat. Maka saya pun duduk saja. Teringat budak-budak universiti di Jordan yang suka duduk berlapikkan buku dan kertas nota. Huhu.

Seperti prosedur membuat iqamah di Jordan, cop kesepuluh-sepuluh jari diperlukan, begitu juga di sini. Semua kesepuluh jari tangan (sahaja, kaki tak mahu?Heh) perlu di'scan'. Namun orang awwalan saja. Tiba orang terkemudian, pekerja pun mungkin sudah tension dan kami dilepaskan saja selepas pasport dicop. Tidak perlu di'scan' segala.
Kemudian kami segera menyerahkan pasport untuk dipegang oleh pihak muasasah (pihak yang menguruskan kerja haji Arab Saudi) dan terus menaiki bas dan dibawa ke Kota Madinah. Cuaca ketika itu panas. Lebih panas dari Jordan saya fikir.
Tiba di Madinah.

Agak terkejut pada mulanya melihat kesemua bangunan cantik dan baru tersergam indah. Benarlah, Madinah sedang melalui arus pemodenannya. Telah kelihatan papan tanda 'Masjid Nabawi'. Mata mula melilau mencari kelibat masjid. Ya! Itu dia kelihatan menaranya! Subhanallah, Alhamdulillah selepas 13 tahun saya kini menjejak semula kota suci ini.

Hati tak henti berdoa, "Mudah-mudahan hotel kami dekat dengan masjid.."

Bas memberhentikan kami di hadapan hotel Dallah Taibah. Hotel tersebut menempatkan kesemua jemaah haji yang pergi bersama Rayhar Travels. Dan ternyata hotel kami memang berhadapan dan menghadap Pintu Uthman bin Affan Masjid Nabawi..:) Tidak sampai 30 langkah perjalanan kami akan tiba di perkarangan masjid.



Dulu selalu semangat nak amik gambar cantik-cantik. Nak challenge Hetty. Haha of course la dia amik lagi cantik! Tapi bila Hety jauh, segalanya sudah tidak bermakna lagi. Gambar pun sudah tidak cantik. Padahal memang dari dulu pun tak cantik. Haha.. (mode rindu)


Selesai check-in, kami pun turun solat di masjid. Apa yang boleh dikatakan,.. terlalu sayu. Terlalu syukur. Terlalu cinta.

Sayu kerana terasa diri ini dekat dengan Rasulullah. Jasadnya sedang bersemadi di sana.

Syukur kerana diri yang masih lekat dengan dosa dan banyak lagha ini masih diberi oleh Allah akan peluang untuk beribadah di masjid itu. Masjid yang dijanjikan Allah dengan ganjaran 50,000 bagi sesiapa yang beribadah di sana.

Cinta.... Cinta yang terlalu sukar untuk digambarkan.

Yang nyata, satu persatu wajah ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang rapat di Jordan dan Malaysia bermain di mata. Hati mengungkap, "Alangkah bahagianya jika mereka dapat bersama saya ketika ini, merasai perasaan ini bersama.."

Saya mengajak ibu ke Raudhah pada hari pertama. Kata ibu, nanti dulu. Baru lagi sampai. Kita tak pasti bagaimana keadaanya. Saya akur.

Hari kedua, hati mula melonjak. Setiap kali selepas subuh, zuhur dan isyak, kedengaran petugas-petugas masjid yang mula membawa signboard 'ziarah ke raudhah' memanggil. Rasa macam nak pergi saja. Tapi mengenangkan kami pergi berempat, dan bukan saya seorang, juga ada nenek saudara yang agak tua bersama, maka saya sabar dahulu.

Hari ketiga, pengumuman dibuat oleh ustaz Rayhar, jemaah wanita akan dibawa ke Raudhah pada malam tersebut. ALHAMDULILLAH. Kami berdoa agar kami memperolehi tempat untuk sujud di Raudhah malam ini.

"Antara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga..(au kama qal)" Sahih Bukhari.

Ada pandangan ulama yang mengatakan bahawa Raudhah pada hari akhirat kelak akan dipindahkan ke syurga. (sama seperti Jabal Uhud).

Malam itu, kami berangkat beramai-ramai ke Raudhah. Rupanya proses untuk masuk ke Raudhah bagi jemaah wanita tidak se'simple' dahulu. Namun lebih teratur dan dengan cara kini, semua pasti merasai untuk beribadah di sana. Kami perlu berhimpun mengikut negara di mana akan ada taklimat oleh petugas mengikut bahasa-bahasa. Malaysia dan Indonesia dihimpunkan sekali. Kami diberi penerangan tentang peraturan di Raudhah. Antaranya, apabila tiba di Raudhah, terus lakukan solat 2 rakaat. Doa dalam sujud. Sesiapa yang berlengah-lengah di dalam Raudhah pasti disuruh keluar memandangkan ramai lagi jemaah yang mahu masuk ke situ. Kawasan Raudhah ditandai dengan karpet yang berwarna hijau. Kawasan lain di Masjid Nabawi adalah berkarpet merah. Kawasan Raudhah juga berhampiran dengan kawasan asal masjid Nabi (yang dibina oleh Rasulullah).

Dari Raudhah lah sempat kami menjengah makam Rasulullah SAW. Kami tidak lagi dibenarkan masuk menghadap makam betul-betul. Kawasan tersebut telah ditutup. Maka ziarah makam biasanya hanya dilakukan dari luar. Saya tidak pasti ini untuk jemaah wanita saja atau kedua-dua lelaki dan perempuan.

Di hadapan kubah hijau (makam Rasulullah SAW)

Pelbagai doa sempat dipanjatkan di Raudhah. ALHAMDULILLAH ada kesempatan itu.


Keluar saja dari situ, saya yakin semua 'speechless'. Nikmat yang tidak mampu diucap...Hati puas...

Cik Yah depan hotel


Dewan makan Hotel Dallah Taibah, Madinah al-Munawarah

Open sesame...Eheh payung baru nak tutup. Hebat teknologi di masjid ini. Ada payung buka-tutup automatik.

Rehat dulu. Hehe baru menulis sudah mahu berehat. Panjang lagi ceritanya. Step by step ya!

Bersambung...

Thursday, December 2, 2010

Dhuyuf ar-rahman : Itu doaku...(Siri 1)

Berita jemputan untuk menjadi tetamuNya telah diterima sejak tahun 2009 lagi. Ketika itu kami sekeluarga (berenam termasuk Mak Ngah) diterima untuk menjadi calon standby jemaah haji tahun 2009. Kami dipanggil untuk menghadiri kursus mingguan di Masjid Daerah. Ketika itu saya masih di Jordan dan adik masih lagi di UKM. Saya tidak begitu ambil pusing tentang hal-hal persiapan haji kerana masih sibuk dengan pengajian ketika itu. Namun pada tahun itu, abah menghantar surat penangguhan memandangkan kami berdua (saya dan adik) sukar untuk mendapatkan cuti.

Abah pernah mengerjakan haji pada tahun 1995. Ketika itu usianya 41 tahun dan dia memang bertekad untuk pergi seorang. Anak-anak masih kecil, justeru ibu tidak dapat ikut bersama. Namun abah janji, dia akan pergi sekali lagi dengan membawa kami sekeluarga. Seingat saya ibu dan abah telah mendaftar haji sejak tahun 2002. Ketika itu saya masih berada di tingkatan 4.

Maka dengan izinNya, sekali lagi pada bulan Mac kami menerima surat dari Tabung Haji yang mengatakan kami terpilih sekali lagi untuk menjadi jemaah haji pada tahun ini. Saya masih ingat ketika itu saya di Jordan, ibu menelefon dan bertanya, sama ada saya benar-benar mahu turut serta atau tidak.

"Mestilah nak!" Saya jawab.

Maka jawab ibu, saya perlu grad juga pada tahun ini untuk memastikan saya dapat turut serta. Mudah-mudahan tidak ada reseat atau repeat paper. Oh teringat semasa menduduki final exam. "Saya kena lulus semua paper! Kalau tak kena delay beberapa plan.." Huhu.

Alhamdulillah semua berjalan lancar. Maka kami pun meneruskan persiapan untuk menunaikan haji pada tahun ini. Saya tidak dapat menyertai langsung kursus bersiri anjuran Tabung Haji kerana ia berlangsung sepanjang saya di Jordan. Saya hanya berguru dengan abah dan ahli keluarga yang lain. Juga alhamdulillah sempat menyertai kursus perdana dan praktikal di Masjid Negeri Shah Alam. Pada mulanya nampak payah, tapi bila sudah faham, kerja haji ini tidaklah sukar...:)

Ibu dan abah memilih untuk pergi dengan Rayhar Travels. Kata orang, kelebihan pergi dengan pakej swasta lebih selesa. Tidak salah jika memilih untuk selesa beribadah bukan? Mudah-mudahan kita jadi lebih semangat. Tak sangka Imam Muda Asyraf turut bersama dengan Syarikat Rayhar. Huhu.

Maka setelah selesai semua persiapan, kami pun bertolak ke Kelana Jaya pada jam 10 malam 13 Oktober 2010. Proses di Kelana Jaya juga berjalan lancar. Tidak lama menunggu, kami kemudian check-in dan diberi taklimat dan kemudiannya dibawa dengan bas ke KLIA.

Ada sebanyak 13 buah bas dengan di'escort' oleh kereta dan motor polis. Terasa seperti VIP. Semua kenderaan memberi laluan kepada rombongan kami. Ketika itu saya menyedari betapa istimewanya jika terpilih menjadi tetamu Allah. ALHAMDULILLAH.

Bas terus dibawa masuk ke kawasan lapangan terbang. Tidak perlu check-in lagi di KLIA. Terus saja kami menunggu untuk dibawa naik ke pesawat. Kelancaran urusan oleh Tabung Haji dan Rayhar?? Memang tip-top!!

Lebih kurang jam 3.30 pagi, terbanglah pesawat Saudi Airlines kami membelah awan biru membawa tetamu-tetamu Allah ke bumi berkah Madinah Al-Munawarah. Hati mula tidak sabar ingin menjengah lagi ke kota itu. Tidak sabar untuk menziarahi Rasulullah dan para sahabat, tidak sabar untuk sujud di Raudhah....

Bersambung...

Wednesday, December 1, 2010

Hajj mabrur, zanb maghfur...

Kali ini memang lama rasanya tak menaip sesuatu di blog ini. Hati terasa ingin mencoret namun tangan malas menari, minda letih mencari perkataan yang sesuai untuk dikarang. Tapi itu semua alasan mungkin. :)

Alhamdulillah saya dan keluarga telah selamat pulang ke tanahair pada 29 Januari yang lalu pada jam 1.30pm walaupun penerbangan pada asalnya dijangka tiba pada jam 1.00am hari yang sama. Sepanjang 6 tahun berulang-alik Malaysia-Jordan pun tidak pernah saya mengalami 'delay' yang teruk sebegitu. Ujian untuk jemaah haji mungkin.

Kami menaiki pesawat Saudi Airlines SV 5274. Wah siap dengan nombor pesawat. Ya, satu lagi bagasi kami belum sampai.

Inshallah sedikit-sedikit saya akan cuba coretkan semula kenangan sepanjang berada di Haramain Madinah dan Mekah, sementara masih menganggur di rumah ni. Rakan seangkatan sudah sibuk bekerja. Namun saya belum lagi. Masih jetlag..

Ok inshallah kita jumpa di lain entri...:)

Wednesday, September 29, 2010

Aku menyahut panggilanmu...

"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang engkar, sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk." (3:97)

Buku Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman diselak. Buku yang banyak menyedarkan saya betapa masih banyak persediaan yang perlu saya siapkan untuk menjadi tetamuNya pada tahun ini.

Namun, seinfiniti kesyukuran tetap dipanjatkan ke hadratNya kerana sudi melayangkan jemputan untuk kami berkunjung ke kota itu sekali lagi. Justeru, Inshallah saya akan berlepas ke Madinah pada 14 Oktober nanti. Doakan perjalanan kami selamat, urusan haji dipermudahkan dan...Saya pohon mudah-mudahan ibadah ini diterima. AMIN...

Friday, September 17, 2010

Post-Raya Entri

Tahun ini merupakan tahun kedua saya beraya di Malaysia selepas lama bermukim di bumi Jordan. Tahun lepas Syawal disambut ketika saya menjalankan praktikal di Malaysia. Manakala tahun ini Syawal disambut selepas saya pulang 'for good' ke tanahair ini. Alhamdulillah, dipanjangkan usia sehingga ke tahun ini dan diberi peluan meraikan Syawal bersama mereka yang tersayang.

Raya tetap raya. Bukan persiapan rumah kami saja dititikberatkan, malah rumah atok di KKB juga. Dinding kayu dibersihkan kotorannya. Kusyen diganti. Sofa dan cermin tingkap dilap. Pendek kata, selagi belum raya, kerja tidak kan berhenti. Penat memang penat, tapi demi kepuasan bersama dan nenda tersayang, apa lah salahnya berpenat sekejap.

Raya pertama...
Kami sekeluarga menunaikan solat raya di Masjid Rasa. Khutbah yang disampaikan memberi peringatan untuk diri yang lagha ini. Memetik teks khutbah yang dibacakan, "Ramadhan mendidik manusia untuk bersabar, menghindar sifat kebinatangan dalam diri seperti kuat makan, kuat tidur dan berhibur.." Terzasss telinga pedih terasa. Astaghfirullah al-azim...

Kemudian kami pulang ke rumah di Rasa untuk bersiap berpakaian raya dan bermaafan bersama keluarga nukleusku. Tahun ini, dengar lagu raya pun tidak rasa apa-apa, kerana diri tidak lagi berjauhan. Jika dahulu, paling sedih mendengar lagu Aman Shah, Kepulangan yang dinanti. Tahun ini tiada apa-apa perasaan. Huhu. Cuma teringat kawan-kawan dan adik-adik di Jordan, juga kenangan beraya di sana. Mana mungkin bisa dilupakan...

Dah siap bermaafan bersama keluarga, kami terus ke kubur menziarahi pusara Tok-Ki (ayah kepada ibu) dan almarhum saudara-mara lain di Tanah perkuburan Kuala Kubu Road. Selepas itu kami pun terus menuju ke rumah atok di KKB.

Ramai sanak saudara telah tiba. Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang diketuai oleh Tuan Imam a.k.a abah. Kemudian sesi bermaaf-maafan, tazkirah dan penyampaian berita-berita hot.(Hehe). Berita hot kali ini disampaikan oleh PakNgah yang mengumumkan majlis risik dan pertunangan Uun (sepupu) pada 6 Syawal (semalam).

Kemudian kita ke sesi 'memenuhkan perut', 'mengutip angpow' dan bergambar. Collection pada tahun ini tidaklah terlalu membanggakan. Biasa-biasa saja. Saya pun tidaklah terlalu mengharap. Ada rezeki, ada, alhamdulillah. Takde pun, tidak mengapa. Dah orang tak nak bagi.. Isk isk..

Pulang ke rumah selepas solat Jumaat, bersiap sedia menerima kunjungan orang jauh pula. Kepada orang yang jauh itu, terima kasih kerana sudi berkunjung ke teratak kami..:)

Malamnya, seperti biasa adik beradik ibu akan berkunjung ke rumah. Penuh, riuh, meriah..
Kemudian mari beraya ke rumah Pak Usu. Kami dihidangkan mi hailam.

Habis Hari Raya Pertama. Penat tapi puas...
Raya kedua, kami bersiap-siap untuk pulang ke Johor (kampung abah). Sebelum itu sempat singgah beraya di rumah jiran sebelah. Perjalanan ke kampung yang jauh tidaklah menyeronokkan memandangkan perjalanan trafik yang perlahan dan ramai orang di kawasan R&R. Tak larat tengok orang ramai. Kalau lah boleh naik flite saja, kan senang. Tapi membazir saja. Bukannya flite mendarat depan rumah. Sudahnya naik kereta menempuh jammed dan orang ramai juga.

Destinasi pertama di Johor, kami ke Simpang Renggam. (Rumah ayah abah). Semua pakcik dan makcik ada di sana. Memang meriah! Malam raya pertama, saya menuntut ilmu dengan Cik Amat. Ilmu perubatan alternatif. Menarik. Cik Amat memang pandai mengubat orang menggunakan ayat-ayat Quran. Namun, bukan mudah. Kata beliau, ilmu ini perlu berguru. perlu dipraktik. Saya belajar yang mudah-mudah dahulu. Inshallah untuk diamalkan diri sendiri dan orang lain jika diperlukan.

Keesokan harinya kami ke Pontian (rumah pakcik abah). Adik beradik ibu turut datang menziarahi atok di Pontian. Sebelum pulang ke Rasa pada hari raya keempat, kami sempat singgah di Jelotong dan Bukit Batu menziarahi saudara mara di sana.

Raya kelima...
Berjalan-jalan menziarahi kawan-kawan sekolah rendah dan menengah. Kebanyakan mereka telah bekerja. Ada yang telah berkahwin dan punyai anak. Seronok!

Hmm, cerita raya memang takkan habis, selagi belum habis 30 Syawal.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup.”(Riwayat Muslim)
Owh, puasa 6 hari jangan dilupakan. Ganjaran seperti berpuasa seumur hidup tu..Kenapa nak menolak tawaran yang Allah 'offer'??

Dan terkini.. masih menghitung hari untuk beberapa perkara penting.
1. Kerja. Bila KKM nak panggil induksi..(Semangat nak kerja. Dah kerja nanti nak cuti pula!)
2. Panggilan haji. Inshallah semoga impian untuk jadi tetamuNya pada tahun ini termakbul. Cuma sedang menunggu tarikh berlepas saja sekarang ini. Maka kita postponed dulu kerja. Yiehaaa!
3. .... zzzzzzz...

Last but not least, belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua kenalan terutamanya yang berada jauh di mata namun dekat di hati - kawan-kawan dan adik-adik di Jordan. Dengan ucapan, saya mohon maaf untuk setiap kekurangan diri ini jua tanggungjawab yang tak terlaksanakan. Saya rindu Jordan!! T__T

Wednesday, September 1, 2010

Wanita saja sepanjang masa...

Anda lebih sedap membaca begini... "Wanita saja sepanjang masa..."

atau begini... "Wanita saja sepanjang masa!!"

Saya suka membaca dengan intonasi nombor 2.

Sejak pulang ke Malaysia, ada lah 3-4 kali juga saya menggunakan perkhidmatan komuter. Sudah tentunya 'koc untuk wanita' pilihan saya. Tagline baru, "Dan kini saya rasa lebih yakin untuk menaiki komuter!" (Heh)

Sekiranya tempat yang ingin saya pergi, saya terpaksa mengharungi 'jammed' jalan raya, saya lebih selesa berpenat dan tidur di dalam komuter berbanding memandu sendiri. (Itu sebabnya saya memilih untuk tidak bekerja di bandar besar pada masa akan datang.) Maka kesesakan jalan raya adalah sebab utama mengapa kadangkala saya memilih untuk menggunakan perkhidmatan komuter.


Koc wanita yang diperkenalkan oleh KTMB merupakan idea yang bagus, dan saya tidak tahu mengapa ada sesetengah pihak yang bodoh yang tidak bersetuju dengan idea ini. Saya yakin dia tidak pernah bersesak dalam komuter. Itu sebabnya dia tidak setuju.


Namun, ramai juga rakyat Malaysia mahupun warga asing yang 'buta huruf' kerana tidak tahu membaca 'Koc ini hanya untuk wanita'. Maka mereka yang bergelar lelaki turut masuk sama ke dalam koc wanita. Yang bagusnya kalau 'kena' dengan makcik-makcik yang bising, "Eh ini koc wanita. Wanita je boleh duduk sini. Lelaki pergi sana."

Yang lagi best kalau dengar, "Eh you tak baca ke ni?" (sambil menunjuk ke arah label koc wanita).

Ada pula yang terus menghubungi nombor hotline yang tertera pada label sambil bercakap kuat-kuat, "Makcik nak mengadu ni, kenapa ada lelaki dalam koc wanita ni? Ha, dia buta huruf?" - Saja makcik tersebut bercakap dengan kuat supaya lelaki-lelaki di situ terasa. Padan muka juga. Siapa suruh tak faham bahasa.

Tapi ada yang tak bagusnya, kalau ya pun marah dan nak menegur, tak perlulah berbahasa kasar dan menggunakan perkataan tidak sepatutnya. Mereka yang nak ditegur itu pun punya maruah. Buatnya dia memang tak perasan yang dinaiki itu sebenarnya koc wanita. Maklumlah pertama kali naik komuter.. Mungkin tak tahu.

Untuk mereka warganegara asing juga sepatutnya tiada masalah kerana banyak bahasa digunakan. '3arabah li sayyidat'.. untuk bahasa arabnya. Tapi kalau bahasa nepal atau bangladesh tidaklah pula ditulis. Dan disebabkan itu mungkin mereka tidak memahaminya. Label pink itu pula bercorak-fancy gambar sisi wajah wanita. Mungkin tak perasan juga. Haii, macam-macamlah alasan...Bagus juga kalau ada sensor dan alarm yang menjerit 'Ada lelaki dikesan dalam koc ini!' apabila mengesan kehadiran lelaki dalam koc wanita. Biar dia 'perasan' yang dia tersilap. (Heh)



Koc wanita adalah koc tengah. Boleh beratur atau menunggu di tempat yang berlabel koc wanita sekiranya hendak menaiki koc wanita. Untuk pasangan suami isteri (halal) atau bf-gf (haram) yang ingin naik bersama, tak perlu kot naik koc wanita. Naik saja koc bebas. Keselamatan anda dijaga oleh pasangan anda kot. Jadi, buat apa angkut pasangan anda yang lelaki itu untuk naik bersama dalam koc wanita? Buat wanita lain tidak selesa saja. Tapi kalau nak naik koc wanita juga, berpisahlah kejap tidak mengapa kot. Yang penting, koc wanita adalah untuk wanita. FAHAM?



Semalam, saya naik koc wanita. Ada seorang anak lelaki membawa ibunya yang sudah tua (cina). Dia menghantar ibunya masuk ke dalam koc wanita dan dia berpindah ke koc lelaki di sebelah. Nasib baik komuter kosong. Sebelum turun, dia masuk semula ke dalam koc wanita untuk mengambil ibunya dan membawanya turun. Bagus anak ini. Tidak mengapalah kalau macam tu.



All in all, jagalah maruah wahai kaum wanita. Sayang seribu kali sayang apabila melihat kaum wanita yang tidak lagi malu berpakaian yang tidak mencerminkan pakaian muslimah, berpegangan bebas dengan lelaki, berkata-kata dengan suara yang kasar dan tidak sopan. Naudzubillah....(Bersama muhasabah diri)


"Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

::Semalam naik komuter ke arah Pelabuhan Klang, teringat masa balik KISAS dulu-dulu. Berbaju batik outing naik komuter. :)::

Monday, August 30, 2010

We went to London, Paris and Costa Del Sol

Pernah dengar lagu 'Awaken' nyanyian Maher Zain? Ini antara liriknya..

We were told what to buy and we'd bought
We went to London, Paris and
Costa Del Sol
We made show we were seen in the most exlusive shops
Yes we felt so very satisfied..

Lagu 'Awaken' ditulis untuk menyedarkan umat yang kian leka. Sibuk menguruskan aktiviti dan kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan masalah dan kepentingan orang lain. Sibuk dengan kemajuan di tempat sendiri dan menyalahkan orang lain apabila berlaku masalah di tempat lain.

Apa yang menarik dalam lagu ini juga, ada disebut, "We went to London, Paris and Costa Del Sol.."
Masa mula-mula dengar, saya tak dapat 'catch-up' apa yang disebut oleh penyanyi akan perkataan terakhir dan ayat lagu tersebut.. Sehinggalah saya tiba di Costa Del Sol, Spain pada bulan Julai yang lalu.

Rupa-rupanya, Maher Zain menyebut 'Costa Del Sol'.

Untuk mereka yang tidak pernah dengar tentang Costa Del Sol, ini sedikit info tentang Costa Del Sol,



Ia merupakan kawasan pesisiran pantai yang terletak di selatan Sepanyol. Bandar-bandar yang dikategorikan dalam kawasan ini adalah seperti Málaga, Torremolinos, Benalmádena, Fuengirola, Mijas, Marbella, San Pedro de Alcántara, Estepona, Manilva, Vélez-Málaga, Rincon de la Victoria, Nerja, Torrox, Sotogrande, San Roque and La Línea de la Concepción.

Apa yang menarik di sini?
Kawasan ini merupakan kawasan tarikan pelancong kerana keadaan pantainya yang memang cantik dan luas.

Saya sempat berada di Torremolinos (satu daripada bandar-bandar Costa Del Sol) selama 1 malam sebelum bertolak ke Gibraltar keesokan harinya. Kami meraikan kemenangan Spain di separuh akhir Piala Dunia malam itu. Riuh. Jalan raya yang pada mulanya sunyi menjadi hingar bingar dengan bunyi hon dan sorakan penyokong-penyokong Spain. Kami pulang ke hotel dengan segera pada malam itu kerana bimbang terserempak dengan mereka mabuk dan kurang waras akibat meraikan kemenangan pasukan bola sepak mereka itu.


Penulis bersama rakan-rakan di hadapan hotel, Aguamarina, Torremolinos.



Pantainya memang cantik. Tetapi gambar close-up di tepi pantai tidaklah dapat disertakan di sini memandangkan ia begitu 'censored' untuk ditampilkan pada khalayak. Maklumlah pantai-pantai yang dipenuhi 'minah dan mat saleh'. Walaupun begitu, tidak rugi anda berkunjung ke sini untuk menikmati panorama yang sungguh indah... Sudah lama tidak merasakan tiupan angin pantai, rindu itu terubat apabila berkesempatan ke pantai Torremolinos suatu ketika dahulu...


::Costa Del Sol sudah sampai, tapi Paris dan London belum lagi. Bila agaknya...::

Monday, August 23, 2010

Mari bekerja di sektor awam


Dulu masa kecil, saya rasa 'kerja kerajaan' ini adalah kerja biasa. Tidak lumayan. Kerana saya lebih tertarik dengan kerjaya pakcik dan makcik saya di Petronas dengan bonus 5 bulan gaji. Macam banyak betul duit mereka boleh dapat jika mahu dibandingkan dengan pekerja kerajaan.
Namun kematangan membezakan tahap pemikiran saya yang dahulu dan sekarang.. Kini saya lebih meyakini kelebihan bekerja dengan kerajaan. Saya terjumpa satu website yang menceritakan tentang faedah-faedah bekerja di sektor awam.. Layann...

1. Elaun perumahan
Ya, anda dapat elaun perumahan pada setiap bulan. Usah risau lagi untuk membayar sewa bulanan rumah anda kerana elaun ini sudah pasti akan membantu.

2. Cost of living allowance (COLA)
Anda bekerja di bandaraya yang taraf hidupnya adalah tinggi? Memang semuanya mahal, dari tambang bas, makan, tol dan lain - lain. Tahukah anda bahawa COLA ini dibayar berdasarkan di bandar mana anda bekerja?

3. Imbuhan tetap khidmat awam (Itka)
Anda sebagai kakitangan awam, ada satu imbuhan khas disediakan khas buat anda. Ini adalah satu penghargaan buat mereka yang berkhidmat buat negara.

4. Kenaikan gaji setiap tahun
Anda berkhidmat untuk kerajaan, sudah pasti ada kenaikan gaji tahunan anda. Lagi lama anda berkhidmat, lagi tinggi kenaikan gaji yang anda perolehi. Sudah pasti anda sukar nikmati kenaikan ini di mana - mana selain di sektor awam.

5. Kemudahan pinjaman komputer dan kenderaan
Anda mahu buat pinjaman komputer ataupun pinjaman kenderaan? Dengan sepantas kilat anda boleh mendapatkannya.

6. Cuti tahunan mengikut kelayakan
Tahukah anda bahawa cuti diberikan paling minima adalah 14 hari iaitu buat pekerja am. Jika anda berjawatan professional, cuti anda adalah 25 hari. Itu belum campur lagi dengan kenaikan cuti tahunan dan juga kenaikan pangkat.

7. Cuti bersalin
Usah risau - risau jika anda rasa anda/orang rumah anda perlu ambil cuti bersalin 2 bulan. Sudah tentu ianya diberikan dengan gaji terus jalan!

8. Pinjaman perumahan
Ya, anda boleh mula memiliki aset terbesar dalam kehidupan anda, iaitu rumah! Dalam masa yang singkat, anda sudah boleh mula membuat pinjaman untuk membeli 'banglo' idaman anda.

9. Caruman KWSP atau pencen
Anda pilih mana anda suka. Nak KWSP ke pencen ke? Kedua - duanya ada kelebihan tersendiri. Jadi, usah risau akan masa depan anda lagi..

10. Bersara pada umur 58 tahun
Sungguh lama anda berkhidmat dalam kerajaan tu..Jika di luar sana, adakah anda akan diberikan peluang berkhidmat selama itu?

11. Peluang kenaikan pangkat
Siapa taknak naik pangkat kan? Naik pangkat maknanya naik gaji dan juga anda naik selevel lagi dari tahap anda sebelum ini. Kiranya anda jadi bos la ni..

12. Peluang melanjutkan pelajaran
Wah! Sambung belajar pun diberikan peluang. hebat tu! Dan untuk makluman anda, anda juga akan diberi peluang tajaan untuk menyambung pelajaran anda. Sudah tentu ini memberikan 1001 kebaikan buat anda dan juga kerajaan.

13. Peluang untuk berkursus dari semasa ke semasa
Boleh dikatakan pada setiap bulan anda akan dihantar ke kursus. Sudah tentu banyak ilmu pengetahuan yang anda pelajari percuma yang di'support' oleh kerajaan. Jika anda hadir sendiri kursus tersebut, dekat 4 angka juga anda perlu bayar setahun.

14. Lebih banyak masa diluangkan bersama keluarga
Ya, kini anda akan punyai lebih banyak masa bersama keluarga berbanding kehidupan sebelum ini. Dan keluarga anda semakin menyayangi anda seadanya...

Hmm.. menarik bukan? Saya 'copy-paste' saja dari website iklan tersebut.
Jadi menyedari keadaan itulah, esok saya akan menghadiri temuduga untuk memohon pekerjaan sebagai Pegawai Perubatan UD41 di SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam). Padahal kau memang kena kerja kerajaan pun. Tiada pilihan lain. JPA kata 10 tahun ok! Heh.

Mohon dipermudahkan inshallah.

Artikel ini membantu juga sebenarnya untuk menjawab kalau-kalau ditanya,
"Awak tahu apa kelebihan bekerja di sektor awam?"
"Ya, tahu encik!"

"Ada soalan lain?"
"Ada. Macam mana kalau saya nak mohon jadi PTD?" (Heh. lebih pulak..)



::PTD :Pegawai Tadbir Diplomatik. Pegawai barisan hadapan di Malaysia seperti pegawai daerah, pegawai kedutaan, duta dan sebagainya. Boleh bekerja di kementerian-kementerian. ((Kenapa saya rasa kerja PTD ini glamor..Huhu))::


Friday, August 20, 2010

Sabar je...

Adik saya mengajar di sekolah sementara menunggu permohonan untuk melanjutkan masternya diluluskan. Hari-hari apabila pulang dari sekolah, dia akan bercerita tentang pelajar-pelajarnya.Justify Full

Satu cerita yang menarik,

Satu pergaduhan telah berlaku di kalangan pelajar darjah 6.

Cikgu : Kenapa kamu bergaduh??!!
Murid : Dia tolak saya cikgu, terkena budak pempuan. Habislah batal puasa saya!!
Cikgu : ?????

Hai... budak.. budak.. Nak marah pun tak jadi.

Habis cerita di sekolah.

***********************


Satu cerita yang kurang menarik,

Saya ke Pejabat X untuk menguruskan sesuatu. Di sana saya diperlukan untuk cap jari.

Pakcik tersebut(bukan tugas dia, namun kerana dia senior di situ juga pegawai sepatutnya yang kami cari itu tiada, jadi dia membantu menguruskan).

Dia memegang stamp pad tersebut kononnya ingin membantu saya mengecop jari.

Saya : Takpe pakcik, letak atas meja. Saya buat sendiri.
Pakcik X : Minta maaf cik, saya memang kena pegang (ibu jari - Kononnya dia ingin membantu mengecop la).Nanti takut tak rata.

Saya : ????

******************

Hari berikutnya, saya perlu ke sana lagi. Cap jari diperlukan juga. Namun pegawai yang sebenar membenarkan saja kami mengecop jari sendiri tanpa perlu di'pegang'. Dan saya membuat hipotesis awal, pakcik hari tu, SAJA JE!!

*******************


Hari yang lainnya. Saya ketemu pakcik itu lagi. Saya memegang payung kerana kehujanan. Saya lalu di hadapannya.

Pakcik X : Adeh, sakit kaki saya tercucuk payung.
Saya : Heh.( Gatal, aku ketuk betul-betul nanti baru tahu!)

Rupanya makcik saya memberitahu, pakcik tersebut memang begitu. Gemar mengusik orang tak bertempat atau istilah ringkasnya, GATAL.

Ada orang, mungkin tidak kisah. Namun untuk mereka yang tidak biasa, perkara tersebut menjengkelkan.

Dan saya tahu inilah yang mungkin kita akan hadapi, dan menjadi dilema doktor-doktor wanita - pesakit lelaki yang 'GATAL'. Minta dijauhkan. Amin.

::Entri ini bukan berniat untuk su'-zon(jahat sangka), cuma ingin memberi contoh supaya wanita lebih berjaga-jaga dan jangan dilayan orang-orang sebegini. Buat muka garang adalah digalakkan.::



Thursday, August 19, 2010

Bazar Ramadhan

Puasa-puasa ni, ada ke orang yang rajin update blog?? Hehe. Tak puasa pun malas. Puasa apatah lagi. Alasan.. Tapi memang benar, memblog ini bermusim. Dulu rajin, sekarang malas, akan datang..wallahualam.

Puasa di Malaysia, boleh dikatakan hujan setiap hari. Hujan-hujan pun orang tetap keluar ke bazar Ramadhan.

Fenomena bazar Ramadhan.
Betapa berduyunnya manusia ke pasar Ramadhan, sehinggakan mana-mana jalan pun akan 'jammed' menjelang waktu buka puasa. Variasi makanan memang 'tip-top', tapi kualiti, 80 kali ganda kelazatan 'My mom's recipe' katanya.

Teringat peristiwa 'ribut maut' yang menerbangkan gerai-gerai di Jasin, Melaka minggu lalu. Innalillah wainna ilaihiraji3un. Semoga mereka yang meninggal dunia dalam peristiwa itu dirahmati Allah dan dimasukkan ke salam golongan yang beriman. Dahsyatnya ribut tersebut ada saya tonton di Youtube. Memang menakutkan.
Semoga kita juga tidak 'LUPA DIRI' apabila berada di pasar ramadhan. Siapa sangka kegembiraan dan perasaan 'excited' untuk membeli juadah akhirnya berakhir dengan tragedi. Nauzubillah.

"Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah masjid dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar." (Riwayat Muslim)

Setiap kali mahu ke pasar, teringat hadis ini. Kenapa pasar?? Bayangkan dari pagi kita mengawal nafsu untuk makan, kita berjaya. Namun menjelang berbuka, apabila ke bazar Ramadhan, nafsu yang terkekang sejak pagi tadi meronta dan akhirnya kita tewas dengan nafsu tersebut. Nasi ayam, nasi tomato, laksam, murtabak, kuih cara, kuih lompat tikam, ikan keli... haihhh kecur air liur sambil menaip. ;p. Semuanya menyelerakan dan kita pun terpaksa membeli kerana TEWAS dengan nafsu. Akhirnya selepas berbuka baru menyesal...:(

Kenapa pasar?
Satu. nafsu tewas disebabkan nafsu lapar dan makan yang besar dalam diri masing-masing. Syaitan gelak kot dalam 'penjara' melihatkan manusia yang kalah hanya dengan nafsu diri sendiri. JANGAN.. Jangan benarkan mereka bergembira!

Dua. Duit pun habis. Ada orang kata, kalau nak makan, jangan sayang duit. Apa pasal pula tak boleh sayang duit, kalau dah sampai tahap membazir. Nasi ayam dia nak, nasi tomato pun mahu juga. Ayam percik lagi. Perut mana yang dia nak isi?? Betul lah membazir.. Nak makan pun perlu sayang duit.

Tiga. Dari sudut kesihatan.
Orang yang memasak pun kadang-kala tidak terpelihara kebersihannya. Pesan makngah saya, "Nak makan agar-agar, basuh dulu.." Heh, hairan pula pertama kali saya dengar. Nak makan agar-agar kena basuh. Basuh saja jika mahu yakin dengan kebersihannya.

Empat. Saya percaya, ibu-ibu yang rajin memasak untuk keluarganya, jarang membeli makanan di luar, akan memberi kesan kepada pembinaan keluarganya. Dari segi logiknya, anak-anak dapat membesar dengan sihat, makan dari sumber yang pasti, diyakini dan berkhasiat. Hasilnya, anak-anak yang cerdik, mendengar kata, senang bangun subuh dapat dilahirkan. Subhanallah.

Namun, saya tidak tahu, adakah saya mampu untuk menjadi ibu yang sentiasa dapat memasak dan menyediakan juadah untuk keluarga. Namun saya ada CITA-CITA untuk itu! (Haha semangat tak pasal-pasal.)

Sebenarnya tadi saya ingin menaip tentang perkara lain. Tiba-tiba datang idea tentang bazar Ramadhan. Jadi entri akan datang akan disambung kemudian.

SELAMAT BERBUKA!

Sunday, August 8, 2010

Dilema si penganggur

Tajuknya macam sedih saja bukan?
Hakikatnya hmm.. runsing juga.

Hidup sebagai pemegang biasiswa JPA luar negara yang mewah. Setiap bulan RM2k dimasukkan ke dalam akaun. Apabila cuti tiba, otak pun mula menerawang mereka percutian ke mana-mana. Wang yang dikeluarkan - tidak kisah, seolah tidak luak bak katanya.

Apabila ada Mega-Sale di 'shopping-complex', tidaklah terlampau berkira untuk mengeluarkan duit, kerana yakin, setiap 3 bulan, duit pasti ada di dalam bank.

Namun itu dulu.
Kini??
Macam nak beli kasut Scholl... Nantilah dulu..
Macam nak tukar cermin mata baru BUM... Haisshh sayang pula duit.
Macam nak beli baju baru.. Haiyaa, banyak lagi nak pakai duit maaa!
Macam nak beli majalah.. Tak payahla, buku kat rumah pun banyak lagi tak baca.
Nak makan steam-boat? Keluar juga duit akhirnya...*Sigh*

Seolah terasa hidup bagai dicatu. Duit itu ada, tapi untuk mewah, ia perlu melalui beberapa tapisan ISO dan SIRIM. (Heh).

Nak buat apa?
Nak beli apa?
Amboi banyaknya..
Haii baru lagi isi minyak, dah kering?
Oh rindunya saat-saat bergelar 'pemegang biasiswa JPA'..

Huhu. Hidup kini berubah. Inilah dilema seorang penganggur. Duit sentiasa mahu mengalir namun yang masuknya?? Tunggulah lagi 2-3-4 bulan..
Seronoknya sewaktu belajar dahulu, tidak susah, tidak begitu lelah seperti bekerja, namun duit boleh tahan cukup menampung kehidupan seorang diri di perantauan. Itu dulu...

Sekarang, fikir untuk bekerja sementara? Tak perlu kot. Banyak hal yang perlu diuruskan sementara bercuti ini.

Justeru, pesananku kepada adik-adik pemegang biasiswa..
Buatlah simpanan untuk masa depan. Kalau boleh pastikan RM10k dalam simpanan menjelang hari-hari menganggur yang selama beberapa bulan ini.(huuuu) Jangan seronok sangat berbelanja sementara tengah ada simpanan. Duit tersebut boleh digunakan untuk maaaaaacam-macam. :)

::Sesungguhnya membazir itu saudara syaitan..::

Monday, July 26, 2010

Oh Malaysia.

Hari ini pagi-pagi lagi saya sudah keluar dari rumah untuk menguruskan beberapa perkara penting bersama encik abah. Kemudian ke Shah Alam juga untuk menguruskan perkara yang sama.

Dalam perjalanan pulang, abah meminta saya membayar Auto-Pay untuk parking. Dengan 'confident'nya saya turun dari kereta dan terus menuju ke mesin pembayaran.

Beberapa kali saya cuba untuk memasukkan kad ke dalam mesin tersebut. "Hmmm, apa pasal tak boleh.. "
Tiba-tiba, "Dik, masuk sini..". Kata orang itu sambil menunjuk ke arah mesin berkenaan.

"Oh, ye ke.." Saya tak pandang pun muka siapa yang bercakap kerana ketebalan epidermis kulit muka terasa seperti meningkat kepada beberapa inci.

Rupanya saya cuba masukkan kad di tempat untuk memasukkan duit ok. Nasib baik baru balik dari Jordan. Orang Arab kan kalau buat salah takdelah malu sangat. Sekarang saya rasa, saya punyai darah Arab. Tidaklah malu sangat.. ~__~. Huhu.

Oh ya, kami sempat ke kedai buku di Kompleks PKNS. Rambang mata sangat dibuatnya. Kelihatan banyak sangat buku-buku baru diterbitkan. Penerbit-penerbit buku pun banyak saya tidak pernah dengar namanya. Buku-buku agama makin banyak dengan ilustrasi dan olahan yang menarik. Buku yang 'mengajar orang bercinta' pun banyak. Pada saya buku-buku sebegini ada 2 natijah. Sama ada pembacanya dapat mengolah dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis dan menjadikannya sebagai panduan. Ataupun ia cuma menggalakkan adik-adik yang kecil, hidung masih berhingus itu untuk mula bercinta. Dan perkara kedua itu menakutkan. Adik-adik kecil, TAK SESUAI ok nak bercinta!

Saya juga bimbang dengan lahirnya banyak penerbit-penerbit dengan kelahiran banyak buku tanpa kawalan akan menyebabkan buku-buku tersebut hilang atau rendah kualitinya. Ye lah, masing-masing berlumba untuk mengeluarkan produk, namun kualiti masing-masing tidak sempat dinilai.

Saya sempat membeli buku terjemahan Amru Khaled, "Al-Jannah fi buyutina". Terjemahannya adalah 'Ada surga di rumahku'. Semasa di Jordan lagi saya ingin membeli buku bahasa Arabnya, namun terlupa sehinggalah saya tiba di Malaysia. Jadi, apabila terjumpa terjemahannya terus saya 'sambar'.

::Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kawinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas”. (HR. Tirmidzi)::

Saturday, July 24, 2010

Jordan di hati...

Alhamdulillah kami telah selamat tiba di Malaysia. Saya kira suhu di Irbid dan Amman semalam turun sedikit akibat hujan lebat tanpa guruh semalam di hadapan byt Yara dan juga di Queen Alia International Airport. :) Walaupun lebat tapi tidak perlu berpayung.

Oh sungguh sebak.
Meninggalkan kenangan,
Meninggalkan junior-junior yang disayangi..

Terima kasih untuk cenderamata kenangan, kehadiran dan pertolongan adik-adik semua. Kami memang tidak menang tangan menguruskan hal rumah. Namun kamu semua banyak membantu. Jazakumullah elkher..:)

After 6 years, now I could admit, I am so lucky to be here.
I learned more than I wish.
I wish to be a good doctor, I also learned how to be a good daei..
I wish to speak fluent English, then I could speak half-fluent Arabic too :)
I wish to make 2-3 best friends, then I got more than that -very-true-kind-hearted friends..
I wish to stay there longer, but I have to go..

I miss Jordan badly :(
I miss the language,
I miss the Arabs.. (Really? euuwwww!)
And I miss friends and sisters there..:)

Till here, semoga jumpa lagi. Inshallah.
Fastaqim kama umirt..


Friday, July 16, 2010

Ilalliqa' : 2

Seorang demi seorang meninggalkan bumi Jordan. Permukiman ini hampir tamat.
Berat untuk meninggalkan, namun terpaksa melangkah.

Bermula dengan Shukriyah yang pulang pada 12 Julai yang lalu, dan rakan serumah, Qilah yang pulang semalam, terasa semakin sayu pula. Giliran kami hampir tiba...

Inshallah kami akan pulang pada 23hb Julai 2010. Semoga semua urusan dipermudahkan. Ke Malaysia kami kembali, namun Jordan tetap di hati!

::Hatiku tertinggal di bumi ini...::

Saturday, June 19, 2010

Ilalliqa' : 1

Irbid semakin sunyi. Penghuninya semakin ramai berlepas pulang ke kampung halaman, pergi bercuti, menunaikan umrah dan sebagainya. Tinggal juga kami yang belum ke mana-mana setakat ini. Akan datang INSHALLAH.

Sesi mengemas yang pertama selesai.
3 kotak penuh berisi kertas-kertas dan nota-nota dibuang selepas disaring. Harap-harap ada 'pakcik recycle' kutip. Semalam letak, pagi ini dah hilang. Ada juga nota yang tidak boleh dibuang, kita bakarkan ia. Selesai juga pagi tadi.

Sesi mengemas yang kedua akan bermula sebaik saja kotak kargo diterima. Buku-buku dan kitab-kitab agama juga akan disaring, mana yang diperlukan akan dibawa pulang, mana yang tidak, akan diberikan saja kepada junior-junior yang memerlukan.

Apabila membongkar semula barang-barang lama, banyaklah terjumpa khazanah-khazanah sepanjang 6 tahun hidup di sini. Antaranya kad-kad raya, kad-kad hari lahir. Dan pengirim kad terbanyak dan ter'setia' adalah Cikodah!! Terima kasih Cikodah.. Baik dari Dublin mahupun dari Malaysia, Odah tetap mengirim. Namun sejak menjadi pelajar klinikal yang berjaya dan tunangan orang, tak kirim ponnn.. :p .
Lagi pula sekarang ini orang lebih memilih untuk mengucapkan selamat dan sebagainya menggunakan FB dan emel. Semakin kurang populariti posmen..Koleksi pun makin kurang saban tahun.



Kad-kad kiriman peminat setia. (Lol).Carilah kalau anda pernah mengirim...:)

Selepas 6 tahun, dengan izin Allah, kelulusan untuk mengamalkan ilmu perubatan berjaya diperolehi...ALHAMDULILLAH.

2 tahun lalu, semasa melihat sijil yang sama kepunyaan Kak Dayah, saya berfikir, "Boleh ke saya dapat sijil macam ini??

Namun bila sijil yang bertulis nama sendiri di depan mata, saya kini yakin, "This is MINE!"


Perjalanannya panjang, namun pengakhirannya adalah sesuatu yang indah~~
Semoga jadi motivasi buat yang belum grad untuk belajar rajin-rajin dan lekas pulang!

Saturday, June 12, 2010

Membaca Gaya Wawasan :)

Mereka sedang berehat-rehat menonton tv sambil berbual-bual. Manakala saya pula sedang leka membaca novel 'New Moon'. Tiba-tiba Hetty dan Ain masuk membawa buku-buku 'kot putih' yang ditempah.

15 minit kemudian...
"Apa pasal semua orang senyap-sunyi??"

Intai-intai.. "La.. semua asyik melayan 'Kot Putih' rupanya.." Ada yang membaca di sudut sana, ada yang di sudut sini, duduk bersila, melunjur... Semua sedang membaca. Memang membaca gaya wawasan betul..:)

Bak kata Anis, "Menyahut kempen membaca seruan kerajaan la korang ni.."
Betul. Rumah Sumi jadi sunyi sepi.

Sesekali kesunyian dipecah dek gelak ketawa.
"Weii baca ni, XX tulis!"
"Muka surat bape?"

Haha. Teringat pula semasa kami study-group bersama satu batch semasa exam baru-baru ini.

"Dalam Bailey cakap...bla..bla.."
"Muka surat bape wei??"

"Aku jumpa dalam Davidson dia kata camtu.."
"Page bapa??"

Dan hari ini terimbau kenangan tersebut ketika kami sama-sama membaca kot putih. Baguslah masa selepas exam diisi dengan membaca.LOL.

KOT PUTIH ~chicken soup for medical student's soul.


Buku yang pernah kami satu batch impikan satu ketika dahulu. Dan akhirnya berjaya disiapkan pada tahun ini oleh krew sidang editor dan MMJ. Buku yang mengisahkan 1001 pahit manis kehidupan sebagai pelajar perubatan dan pergigian di Jordan University of Science and Technology. Alhamdulillah ada kenangan sebelum kami meninggalkan bumi barakah ini~~~

Tahniah semua yang bekerjasama dalam penghasilan 'Kot Putih' ini. :)

::Siapa yang belum tempah, silalah tempah. 6jd sahaja! (selamba je promote, sekali dah habis. hehe tatau tatau)::

::Oh ya, sebenarnya 'Kot Putih' teredar kepada kami secara tidak sengaja. Jadi wahai penempah-penempah kot putih sekalian, jangan pula menggegarkan pintu rumah pengedar lepas ini. Kasihan mereka sedang ber'exam' lagi. Sila menanti dengan penuh sabar. Inshallah akan sampai juga pada anda. :)::

Friday, June 4, 2010

Talian Hayat Untuk Gaza

Insiden yang berlaku pada 31 May yang lalu mampu membuatkan semua penduduk dunia tersentak dan lebih membuka mata terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Jika dengan orang luar yang ingin memberi bantuan pun, kekejamannya sudah terserlah seperti itu, bayangkan bagaimana pula lagi nasibnya penduduk Gaza yang telah lama menghadap kezaliman dan kebinatangan tentera mereka.

Semalam, kami yang berada di Irbid beruntung kerana telah dikunjungi oleh sebahagian daripada rombongan aktivis muslim dari Malaysia yang menyertai misi Life Line for Gaza (LL4G) yang keempat itu. Mereka yang hadir, Dr Salamat Aliman (JIM), Tuan Haji Jamaludin Ilyas (Yayasan Amal Malaysia), Dr Syed Mohd Halim (HALUAN), Ust Hasanudin (Al-Aqsa Assyarif), Ashwad Ismail (Astro Awani). Mereka baru saja selamat tiba di Jordan setelah dibebaskan dari penjara tentera Israel hari Rabu yang lalu.

Kejam.. Memang kejam..
Jika ada bidalan terbaru ingin dicipta, yang paling sesuai diperkenalkan adalah KEJAM SEPERTI ISRAEL. Melakukan serangan di kawasan perairan antarabangsa, masih melepaskan tembakan meskipun sudah mengangkat bendera putih. Mereka memang tidak boleh dipercayai.

Siapa yang mendengar cerita 'live' dari mereka pasti akan mendidih darah geram akan kekejaman tentera Yahudi, dan secara tidak langsung mengkagumi semangat kental yang ditunjukkan oleh para pejuang aktivis yang menyertai LL4G tersebut.

Anda boleh menonton video Youtube secara langsung ketika serangan tersebut berlaku seperti yag dilaporkan oleh wartawan al-Jazeera, Jamaluddin al-sheyal. Kelihatan bagaimana tentera Israel turun ke kapal dari helikopter, kedengaran pengumuman yang dikeluarkan oleh kapten kapal, "All the brothers. Stop the resistance. They are using life ammunition. We cannot protect ourselves. Sit on your seat. We have lost. The may control the ship. Be very calm.". Tidak dapat dibayangkan bagaimana agaknya perasaan sekiranya kita sendiri yang berada di situ. Kedengaran juga bunyi berdas-das tembakan dilepaskan. "Namun sedikit pun tidak merasa gerun" - Itulah yang diucapkan oleh salah seorang dari aktivis yang menyertai konvoi tersebut semalam.

Terbaca dalam artikel 'Mavi Marmara' di Wikipedia. Serangan yang berlaku di kapal itu berlaku apabila penumpang kapal tersebut menyerang tentera Israel dan keadaan itu memaksa tentera Israel menyerang balas untuk mempertahankan diri. Namun menurut apa yang diceritakan oleh salah seorang aktivis semalam, sebaik berdepan dengan tentera Israel, mereka hanya mempertahankan diri dari deck bawah dengan menyembur air dari hos untuk menyukarkan mereka naik ke kapal dan bagi tentera yang berjaya ditangkap, mereka hanya membuang senjata dari tentera tersebut. Tiada serang balas saya percaya dari pihak penumpang. Ia memberi makna sebenar apa itu 'Misi Kemanusiaan'.

Saya tertarik apabila mereka menyingkap semula sirah ketika mana Rasulullah SAW dan orang Islam ingin masuk ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah. Mereka masuk dengan berpakaian ihram, bukannya membawa senjata untuk berperang. Tindakan mereka ketika itu jika difikir logiknya adalah berbahaya kerana kafir Quraisy ketika itu masih belum boleh menerima Islam. Kejadian itu akhirnya membawa kepada satu perjanjian yang ditandatangani iaitu Perjanjian Hudaibiyah yang banyak membawa impak positif terhadap perkembangan Islam.

Begitu jugalah strategi yang disusun oleh rombongan Freedom Flotilla ini. Mereka sememangnya menjangkakan 'the worst scenario', namun tetaplah rombongan mereka tidak disertai oleh tentera, mahupun senjata untuk menyerangbalas serangan yang memang dijangka akan dibuat oleh tentera Israel. Namun seperti yang berlaku dalam perjanjian Hudaibiyah di mana akhirnya umat Islam berjaya masuk ke Mekah dengan amannya pada tahun berikutnya, begitu juga yang berlaku pada situasi ini di mana satu dunia kini membuka mata terhadap MISI KEMANUSIAAN ini dan diharapkan banyak lagi bantuan yang dapat diterima untuk menyelamatkan GAZA dan akhirnya diharapkan dapat memecahkan tembok kekejaman rejim zionis tersebut.

Bodoh bagi mereka yang mempercayai website IDF (Israel Defense Force) yang menunjukkan foto senjata-senjata yang dibawa oleh penumpang Mavi Marmara. Jika benar mereka ingin membawa senjata, kenapa hanya pisau-pisau masak, spanar, screw-driver, alat-alat pertukangan yang dibawa? Bukankah nyawa mereka sedang berdepan dengan rifle, peluru hidup, senjata-senjata hebat tentera Israel??

Jika mereka benar ingin membawa misi ketenteraan, sudah tentu yang dibawa juga adalah senjata hebat yang paling kurang mampu diguna untuk melawan kembali tentera Israel. Bak kata Tuan Haji Jamaludin, "Takkan 3 bulan berlayar nak makan sayur dan buah, gigit dengan gigi saja. Mestilah nak guna pisau." Jadi ia logik. Pisau yang dibawa adalah untuk kegunaan seharian, bukannya untuk menyerang! Orang barat bersekongkol dengan Yahudi dalam membelit fakta. Pentingnya di sini peranan media untuk 'counter-back' mesej barat yang telah diputar-belit - Bak kata Ashwad Astro Awani pula.

Terang benar kezaliman mereka.
Jelas untuk membuatkan kita WAJIB membantu pihak yang ingin membantu Palestin. Kita punyai SENTIMEN PRIMORDIAL yang sama dalam membincangkan isu ini (Baca gaya Ashwad Astro Awani sebab ini memang ayat dia..:)). Namun jika jiwa kita masih tidak mampu melakukan sekecil-kecil pengorbanan seperti mengharamkan apa yang Allah haram (rokok contohnya), sedarlah KITA MEMANG MASIH LEMAH.

Jangan ragu-ragu untuk mengeluarkan sumbangan apabila melihat tabung-tabung derma 'Life-line For Gaza' berjalan. Sabda Rasulullah s.a.w. : "Siapa yang tidak mengambil berat akan hal ehwal umatku, maka dia bukanlah dari kalanganku".

::Last but not least, doakan keselamatan kapal bantuan 'Rachael Corrie' yang masih lagi dalam perjalanan ke Gaza...::

Wednesday, June 2, 2010

ALHAMDULILLAH...

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Taala kerana dengan izinnya kami (Class of 2010) sama-sama berjaya dalam peperiksaan akhir yang baru saja selesai baru-baru ini.

Terima kasih...

IBU, ABAH dan KELUARGA yang banyak memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi, sentiasa menceriakan, mendoakan dan mengubati kerisauan,

DOKTOR-DOKTOR yang dihormati dan disayangi (Semoga Allah merahmatimu. Terima kasih tidak terhingga atas ilmu yang dicurahkan dan markah yang diberi:)),

RAKAN-RAKAN SEBATCH yang sama-sama berhempas pulas mencukupkan mana yang kurang, melebihkan mana yang cukup,

ADIK-ADIK dan KENALAN di Jordan yang banyak mendoakan dan memberi galakan agar kami terus berusaha,

RAKAN-RAKAN yang jauh dan SEMUA yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.


TERIMA KASIH SEMUA.

Kejayaan ini adalah hadiah untuk dikongsi bersama!!!

6 years..
After all of the hardships,
up and down,
smile and cry,
bless and tears,
I am now a doctor.

ALHAMDULILLAH...

Especially to all my JUNIORS,
Stay Sabar and Istiqamah!

::Memang kesal dengan tindakan Israel terhadap kapal-kapal bantuan misi ke Gaza. Jangan lupa, teruskan ikuti perkembangan mereka sambil berdoa "Fansurna 3ala qaumil kafirin..."

Friday, May 28, 2010

Done!

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...
Tamat PEPERIKSAAN AKHIR BACHELOR OF MEDICINE, BACHELOR OF SURGERY (MBBS) semalam.

Ia meletihkan...
Namun cukup manis apabila dikenang.
Sebelum peperiksaan, pelbagai emosi dan fikiran negatif kadangkala menjelma di fikiran. Terutamanya tentang kesihatan diri. Apabila emosi sarat dengan tekanan, badan pun mula minta lebih perhatian. Bermula dengan sakit tekak, akhirnya selsema dan demam. Saya ditimpa demam yang agak teruk pada awal minggu peperiksaan. Ketika itu seminggu sebelum MCQ Internal Medicine. 2 hari yang pertama memang tidak mampu untuk bangun study. Suara ibarat itik serati pun tidak mampu join group discussion. Pada mulanya bertahan juga, ingatkan mampu sihat tanpa ambil antibiotic. Hmm, tapi bila dah masuk hari ketiga pun tiada unsur-unsur 'kekebahan', maka terus saya telan 'Amoxiclav' untuk tonsilitis. Alhamdulillah esok harinya saya boleh mula study seperti biasa. Namun rupa-rupanya kawan-kawan serumah yang lain sedang berada di dalam 'incubation period'. Tidak lama selepas itu, Hetty pula ditimpa demam sebelum 'Exam O&G' dan Qilah pula mengalami 'mild common cold' tidak berapa lama kemudian. Kasihan kan....Tapi tidak apalah, bak kata orang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Cubit peha kiri, peha kanan rasa sakit. Air dicincang tidak akan putus. Eh? tetiba.

Minggu Exam Oral.
Memang dugaan sangat hebat ketika ini. Pulang dari exam, pasti ada terasa sedikit seperti,
"Haisshh kenapa laa aku tak baca yang tu tadi?"
"Kenapalah aku lupa.."
"Arghhhhhhh nape susah sangat soalan doktor???"
But really I told you guys. REZEKI...
"Peliharalah hak Allah, nescaya Allah akan memelihara hakmu."

Oh biar saya cerita apa yang berlaku dalam exam surgery dan O&G pada 2 hari terakhir.

Surgery. 2 orang doktor dari Italy dan Prof. Mohamad Bani Hani (Haha saya gerun dengan dia)
Doktor Itali itu memberi saya soalan berkenaan Peptic Ulcer. Serius saya tak buka betul-betul nota peptic ulcer, hanya menyelak 'surgical recall' di dalam bilik kuarantin 5 minit sebelum dipanggil masuk. Namun, ALHAMDULILLAH memandangkan ia memang common dan selalu dijumpai di wad, jadi ia bukanlah masalah besar saya kira.

Kemudian tiba giliran Prof Mohamad Bani Hani (yang memang gagah). Setiap kali saya terserempak atau teringat dia, mesti nak tergelak. :D
Pernah sekali ber'morning report' dengannya, dia memanggil nama saya untuk menjawab soalan. Saya jawab dengan suara yang dia kurang dengar. Tiba-tiba dia ubah soalan. Dia tanya, "Kau kenal Saidina Abbas?"
"Kenal." Saya jawab.
"Suara aku macam suara dia. Cakap kuat sikit!" Dia warning.
Setiap kali dia marah, walaupun tegang tapi nak tergelak tengok caranya. Siapa yang kenal dia pasti tahu. "Ya bint!!" Haha ada orang tu kena sergah olehnya dalam OSCE exam.

Ok berbalik kepada soalan Dr Mohamad Bani Hani tadi.
"Classification of Intestinal Obstruction and Pathological of Gangrene"

Lega. Jom pergi Stesen 2 bersama Dr Mohamad Ghazo dan Dr. Nizar Waqfi. (Yeay!)

Dr. Nizar Waqfi tanya, "Nur, apa yang kau study malam tadi?"

"Appendicitis, Renal Stone.."
Kemudian, beliau menyoal berkisar tentang "Appendicitis", manakala Dr. Ghazo pula bertanyakan tentang "Renal Stone, Management of Pyelonephritic patient k/c of stone and acute retention of urine."

Kalau ingin dibandingkan soalan saya dengan soalan kawan-kawan yang lain, saya memang bersyukur kerana soalan saya adalah 'common case' jika mahu dibandingkan dengan kawan lain yang mendapat soalan 'Visceral Aneurysm' atau lain-lain yang memang tak pernah dijumpai di wad, mahu nangis depan doktor. Isk.

Hari terakhir bersama O&G.
Stesen 1 : Dr Zuhair dan Dr. Hadil (Badeah Hosp) dengan kes Placenta Abruptio. Common. Jika ia common, maka kurang masalah. :)

Stesen 2 : Dr Oqbah (OMG!) dan seorang 'unknown dr'.
"Ovarian CA" Huh. Ini memang 'unexpected'. Paling tidak pun kalau soalan oncology mahu dikeluarkan, saya memang menjangkakan 'cervical cancer'. Bukannya Ovarian Ca. Habis tu memanglah saya tak recall sebelum exam oral semalam. Tak buka langsung ok..OMG! Memang lupa habis 'nama-nama sedap anak-anak Encik Ovarian Cancer' seperti Sertoli-Leydig, Granulosa-Theca Cell, bla..bla..Ini yang saya rasa menyesal pun tiada guna. Siapa suruh tidak baca? Tapi ALHAMDULILLAH juga, sebabnya soalan common banyak seperti 'what increase risk, what reduce the risk,differential diagnosis. Hopefully ok semuanya..AMIN :)

Selepas tamat exam semalam, rasa ringan kepala. Tetapi kadang-kadang rasa berat balik bila terkenang OVARIAN CANCER. AaAAAAAAAaaaaAAAAA!!!

All in all, ALHAMDULILLAH again, again and again, exam dah tamat.

Ada orang tanya, apa perasaan dah habis tahun 6?
Jawab saya, "Nanti awak dah habis, awak tahu macam mana perasaannya. Ringannya kepala rasa macam boleh 'Bawaku terbang'. Haha. Sekarang penat pun rasa macam tak habis lagi."

Keputusan peperiksaan mungkin seminggu lagi keluar agaknya. Mari berTAWAKAL..Lagi berdebar tunggu result final exam dari debar orang nak nikah kot.


Dari bangunan M- Kuliyyah Tibb. Mereka sedang berkumpul meraikan 'kemerdekaan'. Tengok dari jauh saja. Panas. Tak larat mahu join.


::Pada yang masih exam (Tahun 5) dan yang bakal exam (junior-junior tahun lain), TERUSKAN USAHA. Ia memang meletihkan, but INSHALLAH it pays! TAWAKAL.. ::

::Terima kasih pada rakan-rakan dan junior-juniorita yang sudi menulis dalam buku autograf saya! TERIMA KASIH DAUN KELADI..:)::

::Oh ya, HAPPY BIRTHDAY Cik City Sarah Ahmad Dardiri! May Allah bless you. Amin.::

Monday, May 24, 2010

Sejenak!

Masih sempat nak update..

Hari ini hari kedua 'oral exam' kami. Internal Medicine.

Memandangkan semalam jam 1pm baru kami menghabiskan Oral Peds, pulang ke rumah dengan kepala yang berat dan memang sangat mengantuk yang amat, memang terang-terang tak boleh nak meneruskan study untuk subjek Internal Medicine oral hari ini. Jalan tutup disebabkan King Abdullah datang Irbid. Kami terpaksa berjalan jauh dari tempas bas berhenti ke Stesen Bas sebenar. Semua pun jadi panas...
Hanya selepas asar baru boleh memulakan study. Itupun satu lecture 'liver failure'.. sejam baru dapat habiskan. Lecture 'Diabetic' pula sejam berikutnya baru dapat dihabiskan. Sebab penat kot, otak jadi lembap sedikit, kualiti kurang.

Exam Peds bersama seorang doktor dari Jordan University. Soalannya tentang 'Status Asthmaticus management'. Doktor Husin Jedatawi dari Rahmah Hospital bertanya tentang 'Neonatal Jaundice'. Doktor Khasawneh dengan soalan management of Gastroenteritis dan seorang lagi American doktor dengan soalan Idiopathic Thrombocytopenic Purpura (ITP). All in all, boley laaaaaaaaaa... Panjang 'laaaa' indicates 'something'. Heh.

Hari ini Oral Internal Medicinie.
Dr. Mahmud Ayesh dari KAUH, menyoal tentang 'side effects of steroid dan ADDISONIAN CRISIS'. Serius, tak pernah jumpa ADDISONIAN CRISIS sepanjang pengalaman di hospital. Dan saya pernah baca tapi kurang ambil pusing. ((Menyesal! Menyesal!))Alhamdulillah banyak soalan lain yang disoal oleh doktor, yang diharapkan dapat 'cover' markah ADDISONIAN CRISIS ku. Habis saja exam, saya terus buka buku. Tajuk itu sangat pendek dan senang!! Kenapa lah saya ambil mudah!

Soalan lain dari Dr Mahmud Ayesh, "Patient on steroid having a problem to wake up from bed. What do you think the cause is?"
Hmm...Dalam otak yang sedang mengalami perang dan tembakan neuron dan cas-cas elektrik yang bertalu-talu ini, saya hanya terbayangkan, 'seseorang yang gemuk dan obese susah hendak bangun dari katil'. Lalu saya terus jawab, OBESE!.. Which is.. hmm, betul la side effect of steroid itu 'weight gain'. Tapi doktor gelak. Melihat doktor ketawa, saya terpukul balik. Apa laaa.. takkan la gemuk sampai tak boleh bangun dari katil. Doktor ulang lagi soalan.. Other?

Cas-cas elektrikal di dalam otak kini semakin synchronized.. Dan saya jawab.. muscle weakness! Akhirnya doktor mengiyakannya dan dia jawab, myopathy! (Term yang lebih scientific).

Hmm..
Doktor lain, ada doktor dari Eidon Hospital bertanyakan soalan tentang 'Chronic renal Failure dari akar ke pucuk. (which is saya memang tak buka langsung tajuk renal failure semalam). Saya hanya menjawa berdasarkan apa maklumat yang berada di dalam kepala berdasarkan apa yang pernah dipelajari dahulu dan diperolehi dari pengalaman klinikal..

Bilik sebelah pula, Dr Fawaz, dengan soalan '30 year-old female with 10kg weight loss'. Dari soalan yang sedikit itu lalu membawa kepada tajuk perbincangan thyrotoxicosis, leukemia, lymphoma, diabetis sehingga akhirnya loceng berbunyi dan bertukar soalan kepada doktor di sebelahnya.. Sekali lagi dari Dr dari Eidon Hospital, '30 year old female with fatigue' dan akhirnya membawa saya ke tajuk 'Anemia dan segenap ahlinya..' hemolytic, non hemolytic, B12 Deficiency, IDA, sideroblastic anemia, lead poisong, thalassemia.. Dan saya amat takut kalau dia bertanya lebih tentang thalassemia. Memang panjang ceritanya kalau masuk tajuk 'thalassemia'.. Alhamdulillah, loceng yang dinanti berbunyi akhirnya. Dan tamat oral Internal Medicine...

Ramai doktor luar yang saya rasa dari India dan US datang untuk 'exam oral' kami. And I guess, mereka sangat supportive! In fact semua doktor, baik dari KAUH atau 'peripheral hospital' yang lain sangat baik dalam peperiksaan. Kami saja yang memang 'sampai hati' tak jawab betul-betul. T__T

Lusa, surgery dan Obs & Gyne. Dan kemudian, mahu tidur 72 jam tanpa henti boleh? Heh.
Nanti 'Yah' mesti takut kalau saya cakap dengan dia, "Lepas exam, nak tidur puas-puas!"