Tuesday, December 30, 2008

Misi MERCY

Berita yang kedengaran di radio-radio, televisyen mahupun di internet akhir-akhir ini mampu saja membuatkan kita mengetapkan bibir, menggenggam buku lima dan mengalirkan air mata menahan kemarahan melihat 'kebinatangan' manusia (Tentera Israel) meragut hak asasi keamanan manusia yang lain (Muslim di Gaza).

Ramai kawan saya berasal dari Palestin cuma seorang saja dari mereka yang saya kenali berasal dari Gaza. Keluarganya masih di sana. Kelmarin sempat juga bertanya bagaimana keadaan keluarganya. "Alhamdulillah, setakat ini masih selamat." katanya. Masa mencemburui kerana kami tidak sempat berbual panjang ~perlu segera masuk ke klinik ketika itu. Saya yakin mereka tabah.

Siapa yang tidak sedih dan tidak mahu serangan ini berakhir. Semoga qunut nazilah yang dititipkan oleh segenap umat Islam dalam solat mereka untuk mujahidin di Gaza mendapat belas simpati dari Allah.

Berita yang saya sempat baca malam ini...

Dari Utusan Malaysia,

Mercy hantar pasukan perubatan ke Gaza
KUALA LUMPUR 30 Dis. - Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) menghantar pasukan khas yang disertai doktor bedah dan kakitangan logistik ke Mesir malam ini bagi menjalankan bantuan kemanusiaan serta membawa peralatan perubatan kepada penduduk di Genting Gaza yang diserang tentera Israel.

Pasukan tersebut akan diketuai Presidennya, Datuk Dr. Jemilah Mahmood dan Ahli Majlis Eksekutifnya, Norazam Ab. Samah.

Pasukan itu akan menetap di bandar Rafah dan bekerjasama dengan pasukan sukarelawan tempatan untuk memudahkan penghantaran bantuan kepada pihak yang memerlukan.


Selanjutnya di sini.. (Klik)

Kemudian saya ke Palestinkini.info pula..

Terkini : Bot "Dignity" diserang tentera laut rejim Zionis !




Rabu ,31/12/2008 -Satu bot bantuan kemanusiaan antarabangsa yang mengisi bekalan perubatan dan doktor-doktor bedah telah diserang oleh tentera laut rejim Zionis. Menurut pergerakan Free Gaza, bot yang dipanggil The Dignity itu telah ditembak pada jam 6:45 pagi Selasa tadi.

Jurucakap media berkata , beliau telah berhubungan dengan penumpang bot yang terdiri dari seorang bekas ahli kongres US dan seorang Ahli Parlimen Cyprian , tetapi sejurus sebelum hubungan telefon bimbit terputus , tembak-menembak jelas kendengaran . Tiada siapa dilaporkan tercedera pada masa itu pada masa terputus hubungan telefon namun selepas itu tidak dapat dipastikan sama ada terdapat sebarang kecederaan atau tidak,

Dalam satu siaran akhbar, pergerakan Free Gaza menyatakan, “Bertentangan dengan undang-undang laut antarabangsa, tentera laut rejim Zionis menghalang bot Dignity daripada menghampiri Gaza atau mencari perlindungan sama ada di Mesir atau Lubnan.



Mereka bukan sahaja menyerang Gaza, malah menyerang dan menyekat apa jua usaha bantuan ke atas Gaza. Saya sangat kagum dengan usaha MERCY yang berani dan nekad dalam menghantar misi bantuan ke sana. Semoga keselamatan mereka dipelihara Allah.

Jauh di sudut hati, doa saya, agar turut berpeluang menyertai misi mereka satu hari nanti. Mungkin ini salah satu usaha untuk saya menjejak roh mujahidin dan shuhada' seperti di Gaza..

Allahummansurna wal muslimin fi Gaza...

::Yang tidak kurang pentingnya sekarang, saya kena 'cover' semula Surgery, Pediatrics, Internal Medicine dan Obs & Gyne untuk memastikan penguasaan yang baik dalam round dan seminar Family Medicine!::

Saturday, December 27, 2008

Hassan and Marcus

Sejauhmana indahnya hubungan Islam dan Kristian?


Menjelangnya Hari Natal, saya teringat sebuah filem yang pernah saya tonton. Hassan wa Morkos (Hassan dan Marcus) adalah satu filem keluaran Mesir yang bersulamkan babak-babak dan watak-watak komedi.

Dan babak yang selebihnya berunsurkan isu-isu keagamaan yang bernada agak serius juga. Tapi, genre filem ini adalah komedi. Saya tidak tahu apakah hal ini disengajakan untuk mengelakkan berlakunya isu-isu kontroversi. Mungkin ini adalah salah satu strategi juga. Siapa tahu?

Filem yang terbit pada tahun ini mula ditayangkan November lalu sempena Kuala Lumpur International Film Festival (KLIFF). Tayangan filem-filem dari Arab, Mororco, Iran dan lain-lain negara Islam turut ditayangkan secara percuma di GSC Mid Valley dan GSC Pavilion Kuala Lumpur di Jalan Bukit Bintang. Tapi, antara kebanyakan filem, Hassan wa Morkos itulah yang benar-benar memikat jiwa dan mencabar pemikiran.

Filem ini mengungkap dilema yang terpaksa ditempuh oleh kedua-dua buah keluarga Muslim dan Kristian yang hidup dalam buruan pengganas di Mesir ekoran kegiatan keganasan yang terkait dengan gerakan al-Qaeda dan pengganas Kristian. Maka, atas nama keselamatan, mereka terpaksa menyamar dan kemudiannya bertukar agama olok-olok.

Ia adalah kisah mengenai seorang syeikh yang kuat pegangan agama dan kental spiritualnya. Saya lupa nama syeikh tersebut. Watak syeikh itu dipegang oleh pelakon terkenal yang pernah menempa nama di layar perak Hollywood, iaitu Omar Syariff. Untuk sementara, biarlah kita namakan dia sebagai Syeikh Omar.

Syeikh Omar ini, terpaksa melarikan diri daripada sekumpulan pengganas Muslim selepas adik lelakinya yang terlibat secara langsung dalam kumpulan pengganas telah mati dalam satu letupan dan serangan. Pada hari pengebumian adik lelakinya, teman-teman seperjuangan adik lelakinya telah datang menemui Syeikh Omar, memujuknya untuk kembali meneruskan perjuangan adiknya.

"Sekarang, tanggungjawab tuan untuk meneruskan perjuangannya," kata tiga orang lelaki yang diutuskan menemui Syeikh Omar.

Bagaimanapun, Syeikh Omar menolak permintaan mereka itu. Penolakan itu menaikkan amarah di hati kumpulan tersebut. Selang tidak berapa lama, rumah syeikh Omar hangus dibakar. Beliau terus membuat penafian bahawa kebakaran di rumah mereka ada kaitan dengan kegiatan pengganas yang berdendam kepadanya.

Tapi, dengan ketibaan seorang pegawai polis tertinggi, Mokhtar Basya, akhirnya hal pihak pengganas yang berdendam dengan Syeikh Omar terdedah jua. Ekoran itu, Moktar Basya memberikan dokumen pengenalan diri yang baru kepada Syeikh Omar dengan nama Kristian, iaitu Morkos (Marcus). Termasuk seluruh keluarga Syeikh Omar turut diberikan nama dan identiti agama yang baru.

Paderi Baulus menukar namanya kepada Syeikh Hassan al-Attar
Di suatu sudut yang lain, seorang paderi merangkap guru besar dalam bidang teologi Kristian Goptik di Mesir turut menerima ancaman yang sama dalam muktamar antara penganut Muslim dan Kristian. Ugutan itu berlaku setelah Paderi Baulus (lakonan Adel Imam) melontarkan kecaman keras ke atas pengganas Kristian.

"Para penganut Kristian yang menggunakan kekerasan itu, bukanlah daripada kalangan kami," tegas Paderi Baulus. "Gereja mengecam tindakan mereka yang melakukan keganasan ini atas nama agama."

Selepas habis perhimpunan muktamar antara Muslim dan Kristian itu, dalam perjalanan pulang bersama anaknya, Paderi Baulus berasa ada sesuatu yang tak kena ke atas keretanya. Rupa-rupanya, ada rancangan membunuh daripada pengganas Kristian ke atas sang paderi ekoran kelantangannya dalam muktamar itu.

Sekali lagi, kes itu dirujuk kepada Mokhtar Basya, pegawai tinggi polis di Mesir. Akhirnya, di atas keselamatan nyawanya sekeluarga, untuk suatu tempoh tertentu, Paderi Baulus menggunakan nama Islam, Syeikh Hassan al-Attar, termasuk anak dan isteri beliau.

Banyak kisah jenaka yang berlaku dalam keluarga Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus) apabila mereka berpindah rumah. Paderi Baulus (dengan watak barunya Syeikh Hassan al-Attar) misalnya terpaksa ke masjid untuk menjawab permasalahan fekah penduduk setempat, hatta yang paling memenatkan ialah beliau terpaksa menjadi imam solat, termasuk solat Jumaat.

Akhirnya, Syeikh Hassan (Paderi Baulus) dan Morkos (Syeikh Omar) dipertemukan dalam sebuah rumah pangsa yang dimiliki oleh seorang Kristian. Maka, disitulah Morkos dan Syeikh Hassan mula mengikat tali persaudaraan sesama mereka, walaupun mereka berbeza identiti dan agama. Syeikh Omar (Morkos) menyangkakan Paderi Baulus (Syeikh Hassan al-Attar) adalah Muslim dan begitulah sebaliknya, Paderi Baulus menyangkakan Morkos seorang Kristian.

Melihat keakraban mereka, para penduduk sekitar perumahan itu tak menjangka bahawa penganut Islam dan Kristian akhirnya boleh tinggal sebumbung dan mereka boleh juga menjalankan urusan perniagaan roti bersama.

Satu babak yang paling menarik dan mungkin mencabar pemikiran kita ialah babak ketika mana Paderi Baulus (Syeikh Hassan al-Attar) dan Syeikh Omar (Morkos) mahu menunaikan ibadah menjelang masuknya waktu Maghrib. Mereka berpapasan keluar dari rumah, terus menuju ke sebuah masjid dan gereja yang berdekatan. Baik Syeikh Hassan dan Morkos menjadi serba-salah.

Morkos (Syeikh Omar) walaupun menyembunyikan keislamannya, tetapi ingin menunaikan Maghrib di masjid, walhal Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus) dan anak lelakinya Imad (nama Kristiannya, Girgis) ingin masuk ke dalam gereja. Akhirnya, mereka terpaksa menipu diri mereka sendiri. Paderi Baulus dan anaknya menyempurnakan amalannya di masjid manakala Morkos (Syeikh Omar) terpaksa berada di gereja ketika jemaah Muslim sedang menunaikan solat Maghrib.

Kedua-dua mereka tiada pilihan kerana terpaksa menyembunyikan identiti keislaman dan kekristianan masing-masing. Kalau watak agama mereka yang sebenarnya terbongkar, nyawa mereka dikhuatiri akan terancam. Morkos (Syeikh Omar) terpaksa berdoa dalam gereja menurut tatacara Islam. Dalam masa yang sama, Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus) terpaksa berdoa dalam masjid menurut tatacara Kristian.

Namun, karyawan filem nampaknya bijak menyusun keseimbangan antara kedua-dua jalur fikiran beragama. Misalnya, ketika babak watak Syeikh Hassan al-Attar tiba ke dalam masjid, ditunjukkan imam yang sedang membacakan Surah al-Ma'idah, ayat 82 yang bermaksud:-

"..Dan demi sesungguhnya, engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahasa kami ini ialah orang-orang Nasrani." Yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."

Manakala Morkos (Syeikh Omar) pula, ketika keluar dari gereja terus bertanya Syeikh Hassan al-Attar (Paderi Baulus): "Katakan anda seorang Kristian, lalu anda berdoa dalam masjid, adakah doa anda diterima?" Lalu, sang paderi berkata:- (kalau tak salah ingatan saya..)

"Menurut Bible.. kitab suci pegangan saudara itu," kata Paderi Baulus, "jika ada dua atau tiga orang di sekeliling kita, maka Tuhan tetap mendengar doa kita."

Paderi Baulus lebih memahami hakikat kitab itu kerana beliau sendiri adalah guru besar dalam bidang teologi Kristian. Ringkasnya, nas-nas dan dalil-dalil dari al-Quran dan Bible ini turut disebutkan secara seimbang melalui kedua-dua penganut agama samawi lewat filem tersebut.

Rahsia mula terbongkar
Hubungan akrab yang terjalin mesra di antara kedua-dua buah keluarga itu akhirnya membenihkan bibit percintaan antara Imad (Girgis), anak Paderi Baulus (Syeikh Hassan al-Attar) dengan Fatima (Maria), iaitu anak kepada Morkos (Syeikh Omar). Namun, akhirnya, percintaan mereka terhalang setelah kedua-duanya mengetahui rahsia agama masing-masing.

Hubungan yang asalnya jernih antara kedua-dua keluarga mula menjadi keruh ekoran terbongkarnya rahsia antara kedua-dua buah keluarga tadi. Bagaimanapun, di akhir cerita, sebuah insiden kebakaran di rumah mereka akhirnya kembali meneguhkan pendirian mereka bahawa Islam dan Kristian itu sebenarnya lebih harmoni perhubungannya berbanding agama-agama lain seperti Yahudi dan paganisme.

Di hujung filem ini juga, babak-babak seterusnya diadun dengan menyiarkan khutbah para khatib dari atas mimbar dan ucapan para paderi di gereja yang menghasut para penganut kedua-dua agama samawi ini agar terus bersilang sengketa sesama mereka.

Pendek kata, Hassan wa Morkos berjaya mennyulam elemen komedi bersama unsur pemikiran yang berat untuk diketengahkan kepada penonton. Saya rasa puas hati dan berasa tidak rugi menonton filem ini.

Kekeruhan hubungan antara Islam dan Kristian, antara ideal dan realiti
Sejak peristiwa Perang Salib, kita tersasar menyatakan hubungan itu adalah ekoran perang antara Islam dan Kristian. Secara tepatnya, perang itu merupakan suatu perang mutlak antara Islam dan Yahudi.

Ini kerana, antara dalang dan tulang belakang kepada Institusi Beraja di Benua Eropah adalah golongan Knight Templar yang punya tatacara kefahaman baru yang langsung berbeza daripada tradisi amalan keagamaan Kristian.

Knight Templar, (juga dikenali sebagai Crusaders, yang kemudiannya dijenamakan sebagai Freemason) akhirnya telah memanjangkan tradisi Perang Salib di rantau Nusantara melalui cengkaman ksatria Knight Templar dari Portugis, iaitu Alfonso De Albuquerque di Melaka.

Secara ringkas, secara ideal, hubungan Islam dan Kristian memang suatu hubungan yang baik seperti yang digambarkan dalam al-Quran. Jika berlaku di sebaliknya, maka hal tersebut ada kaitan dengan jarum-jarum yang ditusuk Yahudi dan unsur-unsur daripada faham paganisme ke dalam jiwa kedua-dua penganut agama ini. Wallahu'alam..

Oleh : Fahri Abdullah al-Masri (Harakah Daily)(Artikel asal di sini)




**Sinopsis yang diceritakan dalam artikel ini menarik minat saya untuk menontonnya. Lalu saya melakukan pencarian di youtube dan akhirnnya terjumpa 12 siri kesemuanya. Bahasa Arab Ammi Mesir tanpa alihbahasa yang digunakan tidaklah terlalu sukar untuk memahaminya.

Secara keseluruhan, ada babak yang boleh diterima dan ada yang sukar untuk saya dan mungkin umat Islam lain untuk terima. Contohnya seperti tindakan Sh. Omar meletakkan salib besar di rumahnya sebagai tanda dia penganut kristian dan juga ketika dia masuk ke dalam gereja ketika sepatutnya dia ke masjid untuk menunaikan solat.

Berdasarkan sebuah hadis masyhur yg diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud, "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia adalah sebahagian daripada mereka.

Justeru beberapa tindakan Sheikh Omar(Marcus) yang berlakon menyerupai orang kristian boleh mengelirukan orang ramai. Dia terpaksa menyembunyikan indentiti sebenarnya, amal ibadahnya sebagai seorang Islam demi menjaga identiti dan keselamatan diri dan keluarganya. Namun apa yang mungkin boleh dipuji, contohnya ketika Sh. Omar (Marcus) ke rumah Sh Hassan (Paderi yang menyamar menjadi Muslim), oleh kerana ingin memuliakan tetamu, isteri Sh Hassan menghidangkan 2 gelas teh untuk suaminya dan Marcus (Sh. Omar). Namun ,Sh Omar (berlakon sbg kristian) yang ketika itu sedan berpuasa Nisf Syaaban malah mengingatkan Sh Hassan (Paderi) tentang ibadah puasa di hari tersebut. Istiqmahnya Sh. Omar boleh dikagumi walaupun dia terpaksa berselindung di seblik identiti sebenar.

Mereka juga berbaik sebenarnya saya fikir adalah kerana mungkin kerana perasaan 'lebih sayangkan agama sendiri'. Misalnya Marcus (Sh. Omar) sangat berbesar hati apabila bertemu dengan Sh. Hasan( Paderi) kerana sangkanya Sh. Hasan adalah Muslim sebenar, begitu juga sebaliknya. Justeru mereka berdua bersetuju untuk membuka perniagaan bersama. Secara tidak langsung, terjalinlah persaudaraan dan persefahaman antara 2 individu yang berlainan agama.

Percintaan anak-anak mereka juga turut kecundang apabila masing-masing mengetahui hal sebenar. Ternyata mereka lebih sayangkan agama mereka berbanding cinta mereka. Ya, satu tindakan yang perlu dipuji.

Namun lagi kekeliruan berlaku apabila rahsia terbongkar, imam dan ketua agama masing-masing nekad mengatakan haram untuk setiap hubungan dengan orang beragama selain mereka. Bukankah Islam agama fitrah ini sepatutnya tidak begitu? Islam menuntut umatnya berdamai dan mengelakkan permusuhan. Pengakhiran babak cerita ini sedikit menyayat hati di mana bangunan rumah mereka terbakar. Marcus bertindak memelihara kehormatan isteri Sh Hasan yang ketika itu hanya menyelamatkan diri dengan baju tidur dengan memberikan kot untuk membalut badan wanita itu. Manakala Sh Hasan yang ketika itu masih di dalam bangunan, berjaya membawa keluar isteri dan anak perempuan Marcus yang terperangkap dalam kebakaran itu. Mereka akhirnya sedar dari kesilapan masing-masing dan kembali menjalin hubungan baik.

Kesimpulannya, pada pandangan saya sendiri, melalui filem ini, mungkin sukar untuk kita bahaskan sejauh mana agama yang ada di dunia ini boleh dicari titik persamaan atau persefahamannya, cuma wajarlah menonton filem ini agar kita belajar bahawa betapa indah dan berbangganya kita dengan aqidah dan agama Islam. Syukur kerana kita masih dapat mempraktikkannya dengan aman tanpa ancaman sesiapa. Semoga kita dimatikan dalam husnul-khatimah.

Al-Imran : 19. Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki Yang ada Dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.

Sunday, December 21, 2008

Si embun


Entry hari ini khas ditujukan buat seorang sahabat yang jauh di mata tapi sentiasa dekat di hati yang menyambut hari kelahirannya hari ini.

Selamat Hari Lahir Buat 'Siti Embun' (Siti Noorsaadah bt Md. Sarip) a.k.a Odah/Adah. ~~Banyaknya nama gelaran dia~

Saya mula mengenalinya sejak tingkatan 4 di KISAS. Berasal dari Negeri 9. Sering kedengaran loghat negerinya ketika bersembang dengan rakan senegeri. Kami berada dalam kelas yang sama, 405 dan 506. Pada mulanya kami hanya bertegur sapa biasa. Saya melihatnya sebagai seorang pelajar yang sangat sopan dan pintar (mana taknya, dia berjaya meletakkan dirinya di tempat pertama di kalangan puteri KISAS dalam peeriksaan akhir tingkatan 4). Saya mengagumi tulisan tangannya yang tak ubah seperti tulisan komputer. Baik jawi mahupun rumi. (Boleh tengok kalau tak percaya)

Kemudian kami mula rapat semasa di tingkatan 5. Tugas-tugas sebagai ketua pelajar (KP) yang banyak menghubungkan kami. Saya sangat senang berkawan dengannya kerana dia 'easy-going' atau pun lebih senang disebut 'macam takde perasaan'. Tetapi kadang-kala ada juga masa dia merajuk dan 'moody'. Normal lah tu.

Semasa di Pusat Asasi Sains UM, yang lebih manisnya, kami ditakdirkan dapat duduk sebilik bersama 2 orang rakan yang lain. Masa kerap dihabiskan bersama. Buli-membuli menjadi adat kebiasaan. Namun biasanya dia yang menjadi mangsa. :D Keluar saja dari surau, saya suka menyorokkan seliparnya. Nanti akan kelihatan dia kepeningan dan ke'blur'an mencari selipar yang hilang. (Jangan marah cik. Gurau senda mengeratkan ukhwah)

Semasa kami sama-sama mengisi borang JPA, dia membuat keputusan untuk memilih Perubatan Mesir. Manakala saya pula memilih Perubatan 'Twinning-Program'. Alasan saya, saya tak mahu berlama-lamaan di luar negara. 2 atau 3 tahun cukuplah. Saya juga sangat bercita-cita untuk belajar di Royal College of Surgeon Ireland (RCSI). Dia pula ingin ke Mesir kerana dia tahu di bumi ardul-kinanah itu biah solehahnya terpelihara di samping ingin memantapkan kemahiran berbahasa arabnya yang sememangnya telah hebat ketika itu. Memandangkan uminya seorang ustazah, maka dia juga mahu menjadi seorang 'protazah'(profesional ustazah). Ye ke odah?? :D

Setelah tawaran dikeluarkan, dia akhirnya mendapat 'Twinning-Program' yang memungkinnya ke Ireland, dan saya ketika itu masih menanti. Seingat saya dia sedikit kecewa kerana tidak dapat ke Mesir. Ada juga uminya bertanyakan kepada JPA tentang proses penukaran. Namun menurut umi, dia mungkin hanya akan dapat ke Jordan sekiranya proses penukaran diterima. Saya yang ketika itu masih belum mendapat tawaran, menasihati dia agar menerima tawaran ke Ireland tersebut. Kata saya, "Yang ke Ireland, dah tentu-tentu university di Ireland tu well-known and well-established. Yang kat Jordan ni, tak pernah pun dengar lagi produk yang mereka keluarkan."
Wah, sungguh bijak saya berkata-kata. Akhirnya takdir Allah juga yang meletakkan saya di Jordan. If there is one thing I could regret of, here it was the situation (by asking her not to change to Middle East Program (Mesir/Jordan). But supposed we believed in 'qada and qadar' and should regret nothing.

Dan bermulalah hidup kami yang berjauhan. Dia di Kolej Sunway dan saya di INTEC, Shah Alam dan seterusnya saya terbang ke Jordan dan dia ke Ireland (Uni. College of Dublin). Walaupun zahirnya memang kami berjauhan tetapi boleh dikatakan setiap malam kami akan 'chatting' bersama. Distance may separate us but not our heart.


(Sorry odah, tak sempat nak hantar kad. So terimalah hasil kerja tangan yang comot ni.)

Tika Itu (Unic)

Ketika mula bertemu
Terasa bagai telah lama bersua
Kau sambut hulur tanganku
Bertegur sapa penuh mesra

Masa terus berlalu
Dan kita tetap seiringan berjalan
Menempuh onak liku
Lalui semua suka dan duka bersama

Biarlah apapun rahsia
Dan kelemahanmu tetap engkau temanku

Riangnya saat kita ketawa
Asyik senda dan bercerita
Walau sesekali pandangan kita berbeza
Andainya tetap serupa

Adakalanya kita juga saling terluka
Namun di akhirnya kita tetap bersama

Dan kini dipisahkan dua benua
Saling mengejar cita
Tak pernah kulupakan
Detik yang indah bersamamu temanku

Kupasti suatu masa
Engkau dan aku kan bertemu semula
Kembali menjalinkan detik nan indah
Untuk kenangan bersama

Jadi sempena hari lahirnya yang ke 22 ni, saya ingin terus mendoakan agar dia sejahtera dalam rahmat dan maghfirah Allah, dikurniakan kejayaan dan tidak lupa juga, semoga cepat naik pelamin. Biiznillah, insyallah...

Saturday, December 20, 2008

Sekolah Berasrama Penuh

Rasanya semua yang berjaya dalam peperiksaan seperti UPSR dan PMR pastinya mengidamkan tempat untuk belajar di sekolah berasrama penuh. Hari ini saya tergerak hati untuk membuka laman web kementerian pendidikan. Tiba-tiba ternampak aplikasi untuk semakan tawaran ke tingkatan 1 sekolah berasrama penuh. Saya terus teringatkan sepupu saya. Semalam baru saja saya menghubunginya. Katanya, ada kawannya yang telah mendapat tawaran ke SBP. Dan dia setakat ini belum lagi menerima apa-apa tawaran.

Dari Wikipedia...



Sekolah Berasrama Penuh (SBP) merupakan kumpulan sekolah menengah perdana dikhaskan untuk pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam UPSR dan PMR. Tujuan asal penubuhan sekolah jenis ini ialah untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera di luar bandar. Ini adalah kerana pada awalnya, sekolah berasrama hanyalah sekolah berasrama Inggeris / ala Inggeris (seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar) yang terhad kepada anak-anak Raja dan orang kenamaan sahaja. Namun kini, semua sekolah berasrama penuh adalah sama dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Di sekolah berasrama penuh waktu belajar telah diatur oleh pihak sekolah dan setiap pelajar perlu mematuhi jadual tersebut. Inilah satu keunikan kehidupan sekolah berasrama penuh dibandingkan dengan kehidupan pelajar di sekolah harian biasa.


Ada sebanyak 55 buah sekolah berasrama penuh tersenarai di website wikipedia ini di mana seperti biasa KISAS (Kolej Islam Sultan Alam Shah) mendahului senarai. (hehe,turutan ikut abjad~~'Kolej'- memanglah. yang lain semua 'Sekolah').

Semasa tamat darjah 6 dahulu, saya tidak pernah bermimpi untuk masuk ke asrama. Namun setelah seorang demi seorang rakan meninggalkan saya setelah mereka mendapat tawaran ke SBP seperti Kolej Tunku Kurshiah(TKC), Sekolah Tun Fatimah (STF) dan sebagainya, saya mula terfikir, "Kenapalah saya tak masuk asrama penuh..."

Seingat saya, permohonan untuk ke SBP setelah tamat sekolah rendah dahulu dibuat oleh pihak sekolah. Jadi saya kurang mengambil tahu. Tidak tahu di mana silapnya atau mungkin juga tiada rezeki, tidak seorang pun dari sekolah saya yang mendapat 5A ketika itu mendapat tawaran ke SBP.

Saya tidaklah begitu terasa ditinggalkan ketika masuk ke Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu kerana majoriti pelajar dalam kelas yang pertama juga adalah mereka yang mendapat 5A, 6A dan 7A dalam UPSR (Campur Cina dan India). Jadi saingan masih mantap di situ.

Kemudian ketika saya di tingkatan 3, adik saya mula meninggalkan rumah kerana dia diterima untuk masuk ke Maktab Rendah Sains Mara Mersing ketika tingkatan 1. Dari sinilah bermulanya cita-cita saya untuk masuk ke asrama. Kondisi maktabnya (1 bilik 4 orang, bangunan baru)amat seronok dan selesa untuk belajar amat mengujakan. Kedudukan MRSM Mersing yang 'isolated' dan terpelihara dari hiruk pikuk juga amat damai dirasakan. Sedikit sebanyak saya rasa cemburu melihat adik saya seronok belajar di sana. Maka saya terus menanam azam untuk turut masuk ke asrama sebaik selepas PMR nanti.

Justeru, selepas PMR, saya mengisi borang permohonan untuk ke SBP dan MRSM. Namun saya lebih berharap untuk ke MRSM. Ketika itu entah mengapa, saya hendak sangat ke MRSM di Terengganu. Ayah saya pula sangat berbesar hati jika saya diterima masuk ke MRSM Pontian (Dekat dengan kampung katanya..Nanti atok boleh hantar lauk ungkep setiap hari. :p)

Namun perancangan Allah lah yang terbaik.

Saya sempat ber'tingkatan 4' di SMKKKB selama beberapa minggu sebelum tawaran ke SBP/MRSM dikeluarkan. Ketika itu memang saya rasa tiada hati lagi di sekolah itu. Rasa ingin masuk ke asrama membuak-buak. (Tak sabar nak packing barang..:P)

Akhirnya tawaran yang ditunggu-tunggu pun tiba.

"Tahniah, permohonan anda diterima."....(Saya pun tak ingat ayatnya exactly bagaimana..) Tapi yang saya tahu, saya diterima masuk ke...KISAS (Kolej Islam Sultan Alam Shah). Sekolah yang pernah saya dengar namanya dahulu. Pernah menghantar wakil dalam pertandingan debat di sekolah saya. Pernah juga kedengaran nama ini di dalam buku teks Bahasa Arab Komunikasi.





(Gambar ihsan yang dicopy-paste dari http://bondsoflove90.blogspot.com)

Ketika itu, saya masih mengharapkan jawapan permohonan ke MRSM. Walaupun saya tahu, sesiapa yang telah mendapat tawaran ke SBP, maka unlikely lah dia akan mendapat tawaran ke MRSM pula. Setelah beristikharah dan berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut.

Pertama kali menjejak kaki ke KISAS, saya masih ragu-ragu. Inikah tempat saya?? Semuanya berbeza dari sekolah lama saya. Perbezaan yang agak ketara tentulah dari pakaian..(Pakaian sekolah agama), biahnya.. Saya memang mengalami 'homesick' yang parah selama beberapa bulan tinggal di KISAS. Pernah rasanya ingin saya kembali pulang bersekolah di SMKKKB. Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Di sinilah saya temui pelbagai pengalaman baru, suka duka, dan rakan-rakan. Juga antara perkara yang berharga dalam hidup, saya rasa telah temui di sana...


Dalam memori...
Sek. Men. Keb. Kuala Kubu Bharu (1999-2001)
KISAS (2002-2003)

Thursday, December 18, 2008

Perkara paling menduga...

Sepanjang saya hidup selama 22 tahun (counting the days to become 23), ditambah pula dengan kehidupan di luar negara, saya dapat belajar banyak benda tentang 'pengurusan'.

Namun dalam banyak-banyak urusan hidup, perkara yang paling atau seboleh-bolehnya saya ingin elakkan adalah 'urusan rasmi di pejabat-pejabat di Jordan' atau pun apa saja urusan yang memerlukan saya ber'muamalah' (berurusan) dengan orang arab ini.

I noticed that, they tried to run all the things smoothly but at the same way, they made people suffering.

Contohnya.. seperti yang pernah saya ceritakan dalam blog yang lalu.. Bagaimana susahnya untuk saya mendapatkan keputusan ujian makmal di Health Center. Turun naik ke atas ke bawah, semua orang di situ saya perlu tanya. Dia punya konfiden meyakinkan kita tu.. (Ok, setengah jam lagi siap, bla2). Sudahnya habis masa kita menunggu, kita pula disuruh datang esok untuk mengambilnya.

Dia punya 'sistematik' tu lagi yang kadang-kadang tak boleh tahan. Komputer sana sini ada. Tapi...(O_o)

Saya teringat satu masa saya mengalami masalah untuk mendaftar subjek di universiti. Saya terpaksa mendaftar semula di bangunan HEP (Syuun Tolabah), kemudian berjumpa Dean (di Medicine Department) untuk menunjukkan surat, kemudian hantar semula kertas pendaftaran tu di bangunan HEP tadi (utk key-in di komputer), kemudian hantar semula pengesahan di Pejabat Setiausaha Dekan di Medicine Department. Saya hairan, kenapa prosedur jadi susah sebegitu.. Seolah-olah semua kena dilakukan secara manual. Kenapa tidak di key-in kemudian secara automatik dihantar ke pejabat Dean? Jarak kedua-dua bangunan tu pula bukanlah bersebelahan. Kalau jalan kaki, mampu mengambil masa selama 15 minit. Alhamdulillah perkhidmatan bas gonggok disediakan. Bolehlah lega sedikit.

Setiap tahun pula kami perlu memperbaharui 'iqamah' (Jordan Identity Card). Dulu-dulu senang, mudah untuk kami uruskan sendiri di Balai Polis Irbid. Walaupun cap 10 jari diperlukan. (Teringat kata-kata Presiden PERMAI dulu,"Kenapa tak ambil jari kaki sekali?"). =P
Tetapi sekarang, lain pula urusannya. Ada pula urusan yang perlu dibuat di Amman. Kemudian setelah selesai di sana, di bawa pula ke Irbid untuk urusan seterusnya. Betapa sistematik kan??
Namun untuk urusan iqamah ni, kami sangat-sangat dapat menarik nafas lega kerana kami hanya perlu menyediakan surat akuan universiti dan mengisi borang saja.
Urusan selebihnyanya dibantu oleh pihak MMJ (Majlis Mahasiswa JUST) dan ISO (International Student Office).
**Terima kasih banyak-banyak kepada adik-adik dan sahabat MMJ yang banyak membantu. (Lihat bagaimana orang lain bersusah-payah membantu kita. Bagaimana pula kita boleh membantu mereka?? Fikir sendiri..)

Walaupun banyak kesusahan yang mungkin kita alami dalam sehari-hari kita berurusan dengan mereka ni, dapatlah saya mengenalpasti beberapa point yang sekiranya kita ada, insyallah kita dipermudahkan.. Apa dia??

1. Kemahiran berbahasa Arab yang marvellous.. (kalau tak marvellous pun, buat-buat confident bila bercakap.)- Cakap sehingga sampai maksud.

2. Ada orang yang dikenali. Contohnya di Pejabat Pos; Biasanya parcel yang sampai akan dibuka dan dicek satu-satu barang-barang di dalamnya. Namun apabila kita sering mendapat parcel dan pakcik n makcik di situ juga telah mengenali kita, insyallah, mudah je. Datang, sign dan terus bawa balik parcel.

3. Kena pandai meng'ayat' juga. (Nilai tambah kepada kemahiran berbahasa tadi). Kena tambah puji-puji sikit. Takpun marah-marah banyak. Cepatlah mereka buat kerja. (Tetapi untuk akhwat, tengok keadaanlah, jangan terlebih sangat)

4. Pastikan semua benda yang diperlukan lengkap. (Contoh : IC, iqamah dan lain-lain). Sebab kalau ada yang keciciran, dan ingin berpatah balik ke rumah, kadang-kala anda hanya akan kecewa kerana pejabat telah pun tutup. (Waktu kerja juga kadang-kadang ikut 'kepala' mereka).

5. Kena rajin follow-up. Contohnya ketika pemasangan internet; Kami serumah terpaksa menghubungi pakcik tersebut berkali-kali sehingga dia naik bosan agaknya (sampai panggilan kami dicancelkan). Janji demi janji ditabur, disebabkan geram kerana bayangannya tak juga muncul, kami terpaksa 'menghantui' hidupnya. Setiap hari, boleh kata dekat 10 kali kami menghubunginya. Sehingga akhirnya dia pasrah... (hehe.senyum kelegaan dan bersyukur)

Lagi?? Ada tips lain??

Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, urusan dengan mereka ni, boleh juga jadi se'senang-senang' urusan. Apabila kerap kali teruji dengan kerenah orang yang menyusahkan, sekali kita berjumpa dengan mereka yang memudahkan, heaven rasanya. Secara automatik mulut dan hati ini akan terus bersyukur kepada Allah dan memuji pakcik atau makcik yang baik tadi.

Bila Allah beri dugaan, baru kita kenali apa itu nikmat.


Hidup mesti sentiasa diuji. Baru kita sedar bahawa kita hamba.


Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-ankabut :2)

Monday, December 15, 2008

Hari Bahagia Zayyani



Selamat Pengantin Baru

Bila dua hati dah terjalin
Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Menongkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal keanak cucu
Moga kekal hingga ke syurga


Bagi pihak warga kerja Majlis Walimah ini, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua rakan-rakan sebatch (MEP4), Batch MEP5, dan semua ahli PERMAI yang turut membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Majlis Pernikahan di Bayt Yara dan Kenduri di Dewan Al-Farabi. Jazakumullah khairan.

Sunday, December 14, 2008

Finally...

Finally, I've decided to start my personal blogspot account, after a while been blogging using a multiply blog before. (I have another shared-blog - School of Life)

Hopefully this 'penghijrahan' will ease all my fellow friends and other bloggers as I received quite lots of complaints about that multiply blog - macam tak hidup la kalau guna multiply ni, quite 'leceh' to put a comment (need to be signed-in), gunala blogspot klu nak bubuh live traffic feed (haha) and so on... Shortly after having a small discussion with my far-but-near at heart-friend (cik ct adah)about which type of blog should i used ; wordpress, blogdrive or blogspot, at last with some of her experience 'bergelumang di dunia blogspot', she adviced me to start at blogspot. So here I am. :p

I'm not that-type-of so keen on blogging yet i used to write what I think is important and worth to be shared and read by others.

Last but not least, hopefully this work of blogging will be worth and not 'sia-sia' thus will put on me some 'share' and 'pahala' to be weighed at the day of hereafter as there is a hadith from Rasulullah said,

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِي اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ


Daripada Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Di antara kebagusan keIslaman seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak berguna bagi dirinya.

[Hadis Hasan Riwayat Imam Tarmidzi]