Sunday, January 11, 2009

Bagaimana bermulanya Israel menguasai Palestin

Bayangkan setiap tahun negara Arab membelanjakan beratus bilion dollar Amerika untuk membeli senjata api tercanggih dari pelbagai negara Barat, khususnya Amerika. Namun negara Arab tidak juga mampu memperlihatkan kekuatan tentera mereka untuk menghadapi Israel.

Akhirnya negara Arab hanya menjadi 'pengguna' setia senjata moden Barat, sementara senjata itu tidak juga menolong memperlihatkan 'izzah' (keunggulan, kehebatan) negara Arab sehingga menggerunkan Israel.

Inilah yang berlaku terus menerus, pada ketika yang sama, siapapun yang menjadi Presiden Amerika, negara itu terus melindungi kepentingan Israel.

Benarlah kata ulama tersohor, Sayyid Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam bahawa negara umat Islam perlulah memiliki ilmu dan kekuatan senjata yang cukup disertai kemajuan teknologi supaya dengan kekuatan itu mereka mampu memimpin dunia.

Malangnya, kata An-Nadawi, hampir semua kekuatan ini kini tidak dimiliki oleh umat Islam, pada hal di zaman dulu, umat Islamlah yang memiliki semua kekuatan ini. Kini, katanya, pemimpin negara Arab hanya memikirkan kepentingan negara masing-masing, dilatari oleh sikap assobiyah, atau perkauman Arab yang semakin menebal.

Perlu diingat, kata An-Nadawi lagi, sikap ini menyebabkan runtuhnya Daulah Islamiyah Turki pada tahun 1924, iaitu di tengah-tengah Assobiyah Arab yang tebal itu, ia bertembung pula dengan assobiyah Turki kerana ketika itu Turki juga sangat angkuh dan merasakan ia adalah bangsa besar. Inilah kesan buruk yang dialami sehingga keadaan menjadi begini.

Mula tergadai

Sementara itu, ketika menyaksikan penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh rejim Irael itu, kita teringat bagaimana mulanya tanah atau bumi Palestin ini tergadai dan dijual kepada Palestin.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abd Hamid II, Sultan Turki terakhir, telah digubal undang-undang dan disahkan di Parlimen Turki bahawa semua tanah yang dimiliki oleh orang Arab di Palestin (ketika itu di bawah riayah Daulah Othmaniyah Turki) dilarang dijual kepada Yahudi.

Ini menimbulkan kemarahan British dan Perancis, justru kerana dua negara Eropah itu mahu memperkukuh kedudukan masa depan Yahudi di negara Palestin.

Namun setelah kejatuhan Daulah Othmaniyah Turki, undang-undang itu dimansuhkan oeh Kemal Attaturk yang merampas kuasa. Lalu dengan pantas orang Yahudi di Palestin berebut-rebut membeli tanah orang Arab di sana, sementara orang Arab Palestin itu sendiri rela pula menjual tanah mereka.

Dengan itu banyak tanah hak milik Arab Palestin bertukar tangan menjadi hak milik Yahudi hingga kini.

Tanah itu kini didiami oleh orang Yahudi, ditambah pula wujudnya penempatan baru, iaitu tanah yang dirampas dari rakyat Palestin sendiri. Demikianlah sejarah hitam bumi Palestin.

Maka itu ketika Israel menguatkan cengkamannya di bumi para anbia ini, dalam usaha mereka hendak menghapuskan rakyat Palestin, wajar kita merenung semua sejarah pahit ini. Namun pandangan An-Nadawi ini sangat wajar diberikan perhatian.

**Petikan artikel dari Harakahdaily.net

::All the best for those who are going to sit for the forthcoming exams. Pray for our victory. Pray for the Moslems::

No comments:

Post a Comment