Monday, March 23, 2009

Jalan-jalan...

Semasa kecil dahulu, kita pasti ada menyimpan impian untuk ke tempat-tempat tertentu. Ada 2 tempat yang saya impikan untuk pergi. Pertama, saya ingin ke Tanah Haram Mekah dan Madinah. Sebelum pergi, saya dengar saja orang bercerita tentang kehebatan perasaan dapat beribadah dekat dengan Rasulullah SAW. Alhamdulillah saya telah pun menjejak kaki ke sana untuk menunaikan umrah dan jika ada rezeki semoga saya berpeluang untuk menjadi tetamuNya menunaikan haji tidak lama lagi.

Kedua, tempat yang memang saya impikan untuk pergi adalah...KOTA LONDON...Tidak tahu ingin digambarkan betapa 'berminatnya' saya dengan kota bersejarah ini sejak kecil lagi sehingga saya impikan untuk menyambung pelajaran sana. Mungkin setakat ini belum rezeki saya ke sana. Namun begitu saya berharap agar satu hari nanti, dapat juga saya menjejakkan kaki ke London Heathrow Airport dan seterusnya ke 'kota impian' saya ini.

Pagi ini, saya selak-selak Berita Harian dan terjumpa artikel tentang Kota London. Terus saya mengulit impian sebentar melihat gambar-gambar di Kota London yang ada...


KOTA London tidak dapat dilawati sepenuhnya dalam tempoh sehari, terlalu besar dan banyak daya penarik. Itulah pengalaman menarik penulis ketika berkunjung ke ibu kota Britain, baru-baru ini. Destinasi pertama penulis dan rakan media di negara yang pernah menjajah negara kita beratus abad lamanya sebelum merdeka pada 31 Ogos 1957 ialah Istana Buckingham, tempat kediaman Ratu Elizabeth.

Keadaan di sekitar istana begitu menarik. Pokok-pokok menghijau dan dipelihara rapi. Di suatu sudut, ada kerusi rehat untuk mereka yang ingin bermandi cahaya matahari. Sayangnya, mereka yang ingin duduk di kerusi itu dikenakan bayaran. Istana Buckingham yang didiaminya kekal seperti ketika bapa Ratu Elizabeth, Raja George VI memerintah. Kami difahamkan Ratu Elizabeth kini terpaksa melaksanakan tugas penyelenggaraan bernilai RM220.8 juta, termasuk mengecat semula istana untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Kos itu tidak termasuk projek mengubah suai Dewan Negara di Istana Buckingham kerana bilik itu sudah diubah suai sebelum Ratu Elizabeth memerintah. Selepas itu kami ke Westminster Abbey, iaitu gereja lama yang juga dikenali sebagai The Collegiate Church of St Peter at Westminster. Kini ia digunakan untuk majlis penting serta lokasi pengebumian Keluarga Diraja Britain. Malah, majlis perkahwinan Puteri Diana dan Putera Charles juga dilakukan di Westminster Abbey pada Julai 1981. Dalam perjalanan ke Sungai Thames, kami diberi penerangan mengenai tarikan utama London iaitu The Big Ben dan House of Parliament di Whitechapel Bell Foundry, London. Big Ben kali pertama diperkenal kepada umum pada 10 April 1858. Namun, ramai yang tersalah anggap menterjemah Big Ben sebagai menara jam yang terkenal. Hakikatnya, Big Ben yang dimaksudkan ialah jamnya dengan loceng seberat lebih 12,000 kilogram, bukan merujuk kepada menaranya.


Gambar kiri, Windsor Castle kediaman rasmi Ratu Elizabeth. Gambar kanan, Westminster Abbey, gereja lama yang kini digunakan untuk majlis diraja.


The House of Parliament pula bersambung dengan Big Ben yang dijadikan tempat persidangan dan perbahasan undang-undang. Lokasi ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu The House of Commons, The House of Lords dan The Monarch. Ketika menikmati keindahan London dari Sungai Thames, kami mengambil peluang untuk bergambar di jambatan utama London iaitu Tower Bridge, London Bridge dan Millenium Bridge. Jangan keliru antara Tower Bridge dan London Bridge, kerana Tower Bridge selalu disalah anggap sebagai London Bridge. Jambatan yang paling dominan di Sungai Thames ialah Tower Bridge dan mungkin juga London Bridge yang popular dengan lagunya 'London Bridge is Falling Down' disalah ertikan kerana namanya yang sinonim dengan London (London Bridge) tetapi bukan pula jambatan yang paling dominan dari segi struktur binaannya. Millenium Bridge atau London Millennium Footbridge pula adalah jambatan gantung khas untuk pejalan kaki merentas Sungai Thames menuju ke Bankside di kawasan tengah London. Ia adalah jambatan pertama yang dibina merentasi Sungai Thames sejak pembinaan Tower Bridge pada 1894. The Tower of London dari segi sejarahnya dijadikan sebagai kubu pertahanan London, istana dan penjara. Tower of London juga sering dikaitkan dengan White Tower yang menjadi tarikan utama pelancong. Di situ, selain berpeluang melihat proses pertukaran pengawal, penulis berpeluang melihat keindahan semua mahkota permaisuri iaitu Crown Jewels yang disimpan sejak 1303.


Kami kemudian ke London Eye, roda feris terbesar di Eropah. London Eye setinggi 135 meter membolehkan kami menyaksikan hampir semua tarikan di London. Lawatan terakhir kami ialah di Windsor Castle, istana yang dibina lebih 900 tahun lalu yang kini dijadikan kediaman rasmi Ratu Elizabeth.


FAKTA: Tempat menarik London
  1. Pada 1546 hingga 1556 Westminster Abbey berfungsi sebagai gereja.

  2. Buckingham Palace dibina pada 1971.

  3. Millenium Bridge atau London Millennium Footbridge dibina pada 1998 dan dibuka kepada orang ramai pada 2005.
  4. Big Ben membantu warga kota London mengetahui masa selama lebih 150 tahun. Ia satu daripada mercu tanda utama London bukan saja di Britain malah di seluruh dunia.
  5. Tower Hill, sebuah istana lama yang masih dipelihara dan dijadikan tempat pelancongan.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment